Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Tiada petunjuk baharu ditemui, SAR ditangguhkan hari ini

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Zin Azman bercakap pada sidang media di jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak, di Santubong hari ini.

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat pemancing dan seorang tekong bot yang dilaporkan hilang sejak 3 Oktober lalu.

Operasi yang memasuki hari ketujuh hari ini gagal menemui sebarang petunjuk baharu berhubung keberadaan mangsa selain penemuan boya berwarna jingga yang ditemui pada 3 Oktober, kira-kira 34 batu nautika dari perairan Santubong.

Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Zin Azman Md Yunos berkata, meskipun pencarian dilakukan di udara dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PGU PDRM) dan Unit Udara Bomba, pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk sama ada bot telah karam atau mana-mana peralatan keselamatan timbul di laut.

Katanya, sektor pencarian hari ini melibatkan 3,144.04 batu nautika merangkumi kawasan perairan Besi Buruk, Tanjung Sipang, Karang Berumput, Tukun Bass, Pulau Lakei, sekitar Pulau Satang dan Pulau Sempadi dan Batu Mandi, Lundu.

“Setakat jam 5 petang, kesemua agensi gagal menjumpai petunjuk baharu, justeru operasi SAR di Jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak akan ditutup.

“Pihak polis akan mengambil alih dan segala maklumat akan disalurkan terus kepada mereka dahulu sebelum dikongsikan kepada semua agensi yang terlibat.

“Walaubagaimanapun, kesemua agensi yang terlibat akan meneruskan pencarian di kawasan masing-masing untuk mendapatkan petunjuk baharu,” katanya dalam sidang media di jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak, di Santubong, di sini hari ini.

Beliau berkata, komuniti maritim serta ahli keluarga mangsa dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat baharu kepada pihak polis.

Zin Azman mengingatkan bahawa keadaan cuaca agak tidak menentu memandakan musim Monsun Timur Laut dengan laporan cuaca menyatakan ombak setinggi 2.5 ke 3.5 meter yang boleh terbalik bot pancing biasa.

“Sekiranya mereka yang ingin turun ke laut, sentiasa menyemak laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia untuk laporan kaji cuaca dan mengutamakan keselamatan diri di laut,” katanya.

Lima orang yang dilaporkan hilang ialah Khamizan Saidi, 40 tahun (tekong bot), Yap Tze Kang, 41 tahun, Ng Ching Hui, 36 tahun, Leo Dy Lee Jiann Tarn, 35 tahun dan Christopher Teo, 32 tahun.

E-Paper

21 Mac 2023

Latest News