
KUCHING: Pasukan penyelamat belum menemui petunjuk baharu pada hari ini dalam usaha mencari Francis Awi, kru bot yang dilaporkan jatuh ke dalam laut berdekatan Pulau Burong, Sebuyau pada Isnin.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) yang memasuki hari keenam hari ini diperluaskan 28.60 batu nautika persegi.
Katanya, sektor pencarian di laut tertumpu di sekitar perairan Pulau Burong, Sebuyau dan Triso.
“Keluasan keseluruhan adalah 947.82 batu nautika persegi dari hari pertama ke hari ini.
“Cuaca dilaporkan baik dengan arah angin bertiup dari Tenggara dengan kelajuan angin 10 ke 20 KM sejam serta ketinggian ombak setinggi 0.5 meter hingga 1.0 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Maritim Malaysia telah mengatur gerak Bot Kilat 22 untuk melakukan pencarian.
Tambahnya, pencarian turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sarawak Coast Guard (SCG) dan satu bot nelayan.
Katanya, seramai 60 orang awam terdiri dari pasukan penyelamatan dan orang awam terlibat dalam Op Carilamat ini.
