KUCHING: Tiada sebarang petunjuk baharu ditemui oleh pasukan penyelamat setakat jam 3 petang hari ini dalam misi mencari empat pemancing dan seorang tekong bot yang dilaporkan hilang pada Sabtu.
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, hanya boya berwarna jingga ditemui semalam pada jarak 34.5 batu nautika dari Muara Sungai Santubong dan disahkan oleh pemilik bot.
Katanya, kesemua mangsa yang hilang merupakan warga tempatan ialah Khamizan Saidi (tekong), 40; Ng Ching Hui, 36; Christoper Teo, 32; Yap Tze Kang, 41; dan Leo Dy Lee Jiann Tarn, 35.
“Keluasan pencarian pada hari ini merangkumi seluas 101 batu nautika persegi dan melibatkan aset Maritim Malaysia KM Cekal bagi pencarian di laut dan tiga buah aset PGU PDRM Beachcraft King Air B300, Helicopter Ecureuil AS355N serta Pesawat Cessna Caravan C208 bagi pencarian melalui udara.
“Beberapa bot pancing komuniti maritim sekitar turut melakukan pencarian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, seramai 90 anggota pasukan penyelamat terlibat dalam Op SAR tersebut.
Terdahulu, sebuah bot pancing beserta lima pemancing dilaporkan tidak kembali ke jeti setelah menuju ke perairan Karam Berumput sehingga ke Tukun Bass, 9.3 batu nautika dari Santubong.
MRSC Kuching di bawah APMM telah mengaktifkan Operasi Carilamat setelah menerima aduan dari pemilik bot mengenai bot yang dinaiki lima individu berkenaan tidak tidak pulang.
Sejurus menerima laporan, MRSC Kuching mengaktifkan Operasi CARILAMAT dan menyalurkan maklumat kepada agensi yang berkaitan serta komuniti sekitar berkenaan dengan kejadian tersebut.
Menurut pengadu, bot telah keluar dari Jeti 98 Fishing Village pada jam 5 petang, 1 Oktober 2021 dan tidak dapat dihubungi sebelum bertekad untuk membuat laporan polis setelah khuatir akan keselamatan mereka yang masih berada di laut.
Helikopter PGU PDRM melakukan pencarian di udara di Telaga Air. Video ihsan APMM.