Tiada pilih kasih beri vaksin

KUCHING: “Mana ada kerajaan sanggup berbelanja berjuta-juta ringgit untuk membunuh rakyat sendiri,” kata Datuk Idris Buang.

Ketua Penerangan Parti PBB itu ketika mengulas spekulasi di media sosial mengatakan kerajaan hanya memberi vaksin terbaik untuk menteri dan petugas barisan hadapan berkata, adalah politik jahat untuk memburuk-burukkan kerajaan.

Jelasnya, rakyat harus faham vaksin jenis Pfizer adalah terhad dan kerajaan harus mengambil vaksin jenis lain untuk memastikan semua rakyat menerima vaksin.

“Pembuatan vaksin ini saya percaya kesemuanya selamat digunakan. Walaupun kini masih dalam kajian Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA), biar mereka memutuskan selamat digunakan atau tidak.

“Kalau selamat saya sendiri sanggup mengambil vaksin jenis Sinovac sebab saya percaya fungsinya sama,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Dun Muara Tuang, Kuching semalam. Justeru, Idris memuji tindakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang menawarkan dirinya sebagai menteri pertama menerima vaksin jenis lain selain Pfizer.

Idris menggesa masyarakat agar tidak mempolitikkan isu vaksin dalam keadaan negara bergelut dengan Covid-19. “Tiada pilih kasih dalam usaha kerajaan memberi terbaik untuk rakyat.

“Kalau benar petugas barisan hadapan ini diberi keutamaan dan menerima vaksin yang terbaik, macam mana dengan anak-anak dan isteri saya. “Saya sayang mereka. Kenapa mereka tidak menerima vaksin Pfizer juga? “Takkan kami sanggup mengabaikan anak isteri kalau kami mempunyai kepentingan sendiri,” tegasnya.

Suara Sarawak