KUCHING: Kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April nanti, kata Peter Minos.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) berkata, perkara itu merupakan satu keputusan bijak dan tepat walaupun menyebabkan rasa kurang selesa dan gangguan dalam kehidupan harian termasuk ekonomi negara.
“Ini salah satu pengorbanan dan perlu dilaksanakan demi keselamatan negara dan rakyat,” katanya semalam. Tambahnya, Malaysia perlu mencontohi China yang pernah menjadi negara pertama diserang wabak tersebut.
“Mereka berjaya memerangi Covid-19 yang menyebabkan kematian dengan melaksanakan kuarantin selama 45 hari. “Negara China telah melakukan perkara tersebut, ia merupakan pilihan yang diberikan kerana tiada vaksin ketika ini,” jelasnya.
Beliau menyatakan, antara perkara yang dilakukan oleh China dalam tempoh kuarantin 45 hari termasuk jarak sosial, merawat mereka yang dijangkiti dan menguatkuasakan arahan dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Kita mempunyai keyakinan selepas melaksanakan kuarantin satu bulan sehingga 14 April nanti, Malaysia akan bebas daripada wabak Covid-19 dan akan kembali seperti biasa,” tegasnya.