Tiada positif Covid-19 di Sarawak hari ini

KUCHING: Tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak setakat hari ini kekal sebanyak 569 kes.

Selain itu, katanya tiada kes baharu yang telah sembuh dan discaj daripada hospital hari ini.

“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 535 orang atau 94.02 peratus.

“Sebanyak 17 orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah menambah jumlah kematian kekal seramai 17 orang.

Manakala, beliau berkata sebanyak 27 individu dalam siasatan (PUI) baharu dilaporkan dan dan kes masih menunggu ujian makmal.

Sementara, Uggah merangkap pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata sebanyak 2,246 premis telah dipantau sehingga ini untuk pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya ia terdiri daripada pasaraya (367), restoran (500), kilang (13), bank (183), pejabat kerajaan (59), penjaja (37), pasar tani/awam (115), tempat ibadah (125), tempat riadah (60), tapak pembinaan (23) dan lain-lain (764).

Menurutnya seramai 667 pasukan pematuhan PKPP yang terdiri daripada polis (330), tentera (50), Rela (139), Angkatan Pertahanan Awam (92), pihak berkuasa tempatan (52) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (4).