ARTIKEL

Aidel (tengah), Dr Annuar (kanan) dan Soon Koh (kiri) pada sidang media selepas menghadiri taklimat tersebut.

Tiada projek sakit di Sibu, dengan nilai keseluruhan projek sedang dilaksana dan sudah lulus RM1.92 bilion

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Tiada projek sakit di Bahagian Sibu walaupun ada di antaranya ketinggalan sedikit daripada jadual.

Demikian kata Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo, pada sidang media selepas menghadiri taklimat tentang projek-projek infrastruktur bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu di sini, hari ini.

“Projek yang sedang dilaksanakan di Bahagian Sibu melibatkan kos RM317.4 juta manakala projek yang telah diluluskan untuk pelaksanaan bernilai RM1.603 bilion.

“Kos keseluruhan projek yang sedang dalam pelaksanaan dan yang telah diluluskan menunggu pelaksanaannya ialah RM1.92 bilion.

“Setakat dilaporkan (dalam taklimat tersebut) projek berjalan dengan baik, tiada projek dikategorikan projek sakit, projek adalah kebanyakannya mengikut jadual, walaupun sedikit-sedikit kelewatan namun dapat diatasi dengan sebaiknya,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya itu berkata, jumlah kos tersebut merupakan nilai projek infrastruktur bagi Bahagian Sibu yang sedang dilaksanakan menjelang penghujung Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), dan akan disambung pada RMK13 pada 2026 dan seterusnya.

Berhubung cadangan pembinaan Jalan Teku-Pasai-Siong yang akan menghubungkan Kemuyang, beliau berkata ia akan dilaksanakan di bawah projek rakyat.

“Saya melawat tapak itu pada jam 6.30 pagi tadi. Jalan itu adalah dari bulatan UTS (Universiti Teknologi Sarawak) ke Pasai-Siong.

“Ia akan menjadi dua laluan ke Kemuyang, dan kemudiannya jalan dari Taman Desa Kemuyang ke Jalan Sibu-Bintulu akan dinaik taraf ke peringkat lebih tinggi untuk kemudahan yang lebih baik,” kata Aidel.

Menurutnya, projek itu sangat mencabar kerana ia melibatkan utiliti, elektrik dan kabel telekomunikasi.

Aidel (dua kiri) bersama Dr Annuar (tiga kiri) dan Soon Koh (kiri) menghadiri taklimat tentang projek-projek infrastruktur bersama pihak JKR Bahagian Sibu.

Sementara itu, tentang pembinaan 7.6 kilometer jalan dari Jalan Kong Yit Khim ke Sibu Jaya dan terus ke Lapangan Terbang Sibu yang sedang giat dijalankan, beliau berkata ia akan siap pada Disember ini.

“Saya menggesa pihak JKR memantau projek itu supaya ia dapat disiapkan sebelum Krismas ini,” katanya.

Taklimat yang dihadiri Aidel itu dikendalikan oleh Ketua JKR Bahagian Sibu, Chieng Siong Ming.

Turut hadir pada taklimat tersebut ialah ADUN Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee, dan ADUN Bawang Assan, Datuk Seri Wong Soon Koh.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU