Tiada tarian singa dan naga

KUCHING: Persatuan-persatuan tarian singa dan naga akur untuk tidak mengadakan persembahan sempena sambutan Tahun Baru Cina (TBC) pada 12 dan 13 Februari ini.

Ketua Jurulatih Tarian Singa dan Naga Persatuan Seni Bela Diri Cina (CMAA) Nelson Nguang berkata, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa menyimpan kostum, peralatan dan aksesori tarian singa dan naga demi memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini.

“Selama 36 tahun saya terlibat dalam industri tarian singa dan naga, inilah pertama kali tidak ada persembahan semasa TBC,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata walaupun tiada persembahan, namun kumpulannya akan terus berlatih.

“Kami harus mengekalkan kemahiran dan latihan fizikal,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari Persatuan Tarian Singa dan Naga CMAA berkata, sebelum ini mereka biasanya menerima antara 70 hingga 80 tempahan semasa TBC.

Walaupun terkesan tahun ini, beliau berkata pihaknya akur dengan larangan demi keselamatan setiap orang.

Sementara, ketua pengajar tarian singa dan naga Persekutuan Nanyang Wushu, Prof Datuk Seri Dr. Song Swee Hee berkata ini juga pertama kali mereka menghentikan persembahan dalam tempoh hampir 50 tahun.

“Amat menyedihkan apabila kita terpaksa meninggalkan adat tradisional kunjungan dari rumah ke rumah semasa TBC tetapi pencegahan penyebaran Covid-19 akan membolehkan kami mengunjungi anda semua pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Menurut Swee Hee, Persekutuan Nanyang Wushu merupakan antara pengamal tarian singa dan naga di Sarawak sejak ditubuhkan pada 1974 dan akan membuat persembahan dari rumah ke rumah pada setiap kali TBC.

Persembahan tarian naga dan singa selalu menjadi kemuncak TBC dan sering menarik perhatian setiap orang tanpa mengira bangsa, agama dan kaum.

Ini adalah salah satu tradisi terpenting dalam TBC kerana singa dan naga melambangkan nasib baik serta dipercayai akan mengusir roh jahat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan melarang persembahan tarian singa dan naga pada sambutan TBC kali ini, disebabkan penularan Covid-19 yang membimbangkan di negeri ini.