ARTIKEL

Tiada tepung di pasaran tempatan mengandungi benzoil peroksida melebihi kadar dibenarkan – KKM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Tiada mana-mana jenama tepung di pasaran tempatan mengandungi benzoil peroksida melebihi paras yang dibenarkan di bawah undang-undang, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 membenarkan penggunaan benzoil peroksida sebagai bahan penyesuai makanan di bawah aditif makanan dalam tepung pada kadar tidak melebihi 50 miligram/kilogram (mg/kg).

“Suruhanjaya Codex Alimentarius (CAC), iaitu badan antarabangsa yang ditubuhkan di bawah Program Standard Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum pada kadar tidak melebihi 60 mg/kg.

“Dalam hal ini, penggunaan benzoil peroksida telah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan pada jumlah tertentu di Malaysia dan luar negara oleh badan penilai antarabangsa, iaitu Jawatankuasa Pakar Mengenai Bahan Tambah Makanan (JECFA),” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM lagi, pihaknya mengambil maklum isu yang ditularkan semula di media sosial berkaitan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum yang didakwa boleh menjejaskan kesihatan.
 
Menurut kementerian itu, perkara tersebut telah dijelaskan dalam dua kenyataan media yang dikeluarkan sebelum ini pada 2012 dan 2017 bagi mengelakkan kekeliruan awam. 

Kenyataan itu turut menyebut KKM sentiasa bersedia dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat bukti saintifik terkini daripada badan-badan antarabangsa seperi Codex dan JECFA yang membuktikan mana-mana bahan makanan adalah berbahaya kepada kesihatan.

KKM juga sentiasa melaksanakan pemantauan ke atas pelbagai jenama tepung di pasaran bagi memastikan kandungan benzoil peroksida pada kadar yang dibenarkan. 

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. 

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana pejabat kesihatan daerah, jabatan kesihatan negeri terdekat atau melayari laman sesawang serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan,” kata KKM. – BERNAMA

BERITA LAIN

Hari Wesak disambut meriah seluruh negara

KUALA LUMPUR: Hari Wesak disambut meriah di seluruh negara dengan ribuan penganut Buddha memenuhi tokong di negeri masing-masing sejak awal pagi ini. Di Kuala Lumpur,

BERITA TERBARU

Hari Wesak disambut meriah seluruh negara

KUALA LUMPUR: Hari Wesak disambut meriah di seluruh negara dengan ribuan penganut Buddha memenuhi tokong di negeri masing-masing sejak awal pagi ini. Di Kuala Lumpur,