KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) sedia mengemukakan nama calon bakal bertanding untuk kerusi Parlimen Julau pada PRU akan datang kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam masa terdekat.
Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan berkata, tindakan itu dilakukan selepas berlangsung Mesyuarat Majlis Tertinggi PRS.
“Kita akan cadangkan nama (calon) kepada Ketua Menteri dan ia terpulang kepada Ketua Menteri menilai dan mempersetujuinya,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Belia 2021 di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak hari ini.
Snowdan turut mendedahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Ahli Parlimen Julau, Larry Sng untuk menyertai semula PRS, setelah beliau meletak jawatan sebagai Ketua PKR sarawak dan keluar dari parti itu, 28 Februari lalu.