ARTIKEL

Tiada trofi di hujung jalan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KETIKA berada di lampu isyarat, lampu bertukar hijau.

Belum sempat kereta di hadapan bergerak, hon di belakang sudah menjejit?

Saya pernah mengalaminya.

Bukan sekali atau dua kali.

Hon itu seperti amaran tergempar, seolah-olah ada hal besar yang tidak boleh tertangguh walaupun sesaat.

Lalu saya terfikir, apa sebenarnya yang kita kejar?

Jalan raya kini menjadi tempat semua orang bertukar menjadi manusia paling sibuk di dunia.

Pemandu yang tidak pernah tiba awal di pejabat tiba-tiba mahu tiba dahulu di persimpangan.

Yang lambat bangun subuh di rumah mahu memintas lori balak di selekoh.

Yang berada di kedai kopi pula boleh bersembang dua jam mahu membelah lorong kecemasan kerana tidak sabar menunggu tiga minit.

Saya tidak menuding jari.

Saya sendiri pernah sedemikian.

Pernah satu pagi, saya lewat menghantar anak ke sekolah.

Jalan pula sesak dan di kepala pula hanya fikir cepat, cepat, cepat.

Saya memotong satu kereta, kemudian satu lagi.

Ketika sampai di pintu pagar sekolah, saya menang.

Menang apa? Dua minit?

Anak saya yang duduk di sebelah, memegang tali pinggang keledarnya erat-erat.

Dia tidak berkata sepatah pun.

Barulah saya perasan tangannya sejuk.

Dua minit. Itulah harga yang saya letakkan pada keselamatan anak.

Kita pandai mengira duit.

Harga minyak naik satu sen pun kita tahu.

Diskaun 30 peratus pula kita hafal tetapi jadi lemah dalam bab jarak dan masa.

Cuba kira perjalanan 20 kilometer.

Kereta dipandu laju sedikit hingga sampai 10 kilometer sejam lebih pantas daripada sepatutnya.

Berapa banyak masa yang dijimatkan?

Tidak sampai lima minit yang kita sanggup bayar dengan risiko yang berganda-ganda.

Perbezaan kelajuan yang kelihatan kecil di meter menjadi perbezaan yang sangat besar ketika brek ditekan dan kereta masih meluncur.

Polis dan pakar keselamatan sudah ribuan kali mengulang perkara ini iaitu kelajuan, lelah, mengantuk, telefon di tangan, dan tidak memakai tali pinggang.

Senarai itu tidak pernah berubah, hanya angka di sebelahnya yang berubah.

Dan angka itu pula bukan angka biasa.

Ada satu budaya yang kita tidak sedar sedang kita semai.

Kita menganggap pemandu yang laju itu hebat dan yang berani memotong itu gagah.

Seolah-olah itu rekod dunia, padahal tidak ada trofi di hujung lebuh raya.

Yang menunggu kita hanya rumah, meja makan, dan orang yang tidak pernah bertanya berapa cepat kita sampai.

Mereka cuma bertanya, “Dah sampai?” dan menarik nafas lega apabila kita menjawab ya.

Bagi orang yang menunggu kita, “sampai” itu tidak pernah bermakna sebaliknya sampai bermakna selamat.

Saya bukan pakar tetapi pemandu biasa yang pernah silap dan mahu belajar.

Jadi izinkan saya kongsikan tiga perkara kecil yang saya cuba pegang.

Pertama, keluar lebih awal. Ini nasihat paling tidak popular kerana ia bermakna kita perlu bangun lebih awal. Itu sangat sukar.

Hampir semua kelajuan yang berbahaya bermula daripada kelewatan yang kita cipta sendiri.

Pemandu yang keluar 15 minit lebih awal tidak perlu memotong sesiapa.

Lima belas minit itu ialah insurans paling murah yang pernah kita beli.

Kedua, telefon.

Tiada mesej yang begitu penting hingga wajar dibalas pada kelajuan 90 kilometer sejam.

Kalau orang yang menghantar mesej itu tahu kita membalasnya sambil memandu, saya yakin dia sendiri akan menjejit,

“Simpan telefon tu!” Jadi tolonglah simpan telefon.

Letakkan di tempat yang tidak boleh dicapai. Kalau perlu, jadikan ia peraturan rumah.

Ketiga, kalau mengantuk, berhenti.

Tidur 15 di kawasan rehat lebih baik daripada tidur selama-lamanya di bahu jalan.

Kita malu untuk mengaku lelah, seolah-olah itu tanda lemah, tetapi itu sebenarnya tanda paling waras seorang pemandu.

Jalan raya milik bersama

Satu perkara yang selalu saya fikirkan, jalan raya bukan milik kita seorang.

Di sebelah kita ada motosikal yang penunggangnya hanya berlindung di sebalik topi keledar.

Di belakang kita pula ada kereta yang mungkin membawa bayi dan di hadapan kita ada lori yang pemandunya mungkin sudah memandu sejak subuh.

Di tepi jalan pula ada budak yang menunggu masa untuk melintas.

Semua orang ini mempunyai destinasi seperti kita. Semuanya mahu pulang.

Tanggungjawab kita bukan hanya menjaga diri sendiri, tetapi memastikan mereka juga sampai ke destinasi.

Memberi laluan bukan tanda kalah dan membiarkan kereta lain masuk lorong bukan bermakna kita bodoh.

Itu sekadar dua saat yang kita hadiahkan, dan dua saat itu kadangkala menyelamatkan nyawa yang tidak pernah kita kenal.

Semalam, dalam perjalanan ke sekolah anak, saya melalui simpang yang sama tempat saya pernah memotong kereta tanpa fikir panjang.

Hari ini saya berhenti, memberi laluan kepada sebuah kereta lama yang dipandu seorang pak cik.

Dia mengangkat tangan sedikit, tanda terima kasih.

Perkara kecil, tetapi sepanjang hari itu hati saya terasa lebih ringan.

Barangkali itulah rahsia yang kita lupa.

Pemanduan selamat bukan sekadar mematuhi undang-undang, sebaliknya ia soal hati yang cukup tenang untuk menerima bahawa kita tidak perlu menjadi yang pertama.

Jadi, apabila hon di belakang menjejit dan darah mula menyirap, tarik nafas.

Tanya diri sendiri; mahu sampai dulu atau mahu sampai selamat?

Ingatlah di rumah ada yang sedang menunggu.

Dan mereka tidak peduli kita tiba pukul berapa.

Mereka cuma mahu kita tiba.

BERITA LAIN

Guru Juara Moonton berpotensi diperluas ke Sarawak

KUCHING: Program Guru Juara Moonton yang diperkenalkan di Selangor berpotensi diperluas ke negeri ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak. Ketua Penerbitan, Pembangunan

BERITA TERBARU

Wanita rentung dalam kebakaran

KUCHING: Seorang wanita berusia 35 tahun ditemukan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Taman Kim Pang di sini, petang tadi. Jurucakap