ARTIKEL

Tiba masa undur diri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PERSATUAN atau kelab bukan milik individu.

Tidak kira persatuan itu berkaitan sukan, budaya, seni atau apa-apa pun namanya, persatuan juga bukan milik kumpulan tertentu.

Persatuan milik sesiapa sahaja yang menjadi ahli kepada persatuan. kelab itu.

Yang penting ahli itu sudah membayar yuran penyertaan dan yuran tahunan.

Ada juga yang membayar yuran untuk menjadi ahli seumur hidup. Oleh sebab itu, mereka yang tidak berdaftar dikatakan bukan ‘pemilik’ persatuan itu meskipun dia senada dan sama rentak dengan objektif serta gerak langkah persatuan/kelab itu.

Misalnya, mana-mana individu yang giat dalam seni tarian tidak berhak untuk bersuara dalam manamana platform tentang persatuan seni tarian. Itu hal kami!

Begitu juga dalam hal berkaitan persatuan atau kelab sukan.

Itu suara orang luar! Jangan dengar! Ia hanya kata-kata kosong!

Antara suara-suara dari dalam persatuan/ kelab ketika bermesyuarat jika ada suara-suara yang dikatakan ‘sumbang’ dari luar menghentam atau mengemukakan cadangan pembaikan persatuan/kelab. “Kalau nak juga bersuara, sila daftar jadi ahli persatuan!”

Bukan sekali dan bukan dua kali kita pernah dengar dialog ini.

Sudah banyak kali. Dan ada yang sudah lali dengan dialog ini. Jika ini lorong khusus untuk bersuara suara (cadangan), jangan tunggu lagi! Segera mendaftar sebagai ahli! Jangan tunggu lamalama.

Bila-bila masa lorong itu boleh ditutup rapat-rapat. Persoalannya, setelah menjadi ahli berdaftar, adakah mana-mana ahli tetap boleh bersuara?

Tidak dinafikan memang ada banyak persatuan/kelab yang memberi ruang yang cukup luas kepada mana-mana ahlinya mengemukakan cadangan, teguran serta usaha tambah baik operasi persatuan.

Dan, ada juga persatuan terutama ahli jawatankuasa tertinggi seolah-olah ‘enggan’ mendengar suara ahli terutama cadangan tambah baik.

Apatah lagi teguran keras.

Ia dianggap membuang masa bermesyuarat. Jadi apa yang dibincangkan dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang? Ada yang dari jam 8.30 malam hingga 1.00 pagi.

Ketika pembentangan kertas awalan ataupun kertas kerja pelaksanaan program atau pertandingan, tidak usah hendak membangkang.

Paling ‘mulia’ setuju sahaja, sebab keputusan sudah dibuat. Mungkin boleh saya gambarkan begini, “Ini cadangan program/pertandingan kita. Jadi, kira semua setuju”.

Semacam tidak perlu dibantah. Hanya setuju! Mungkin saya sahaja berfikir begini, ataupun mungkin orang lain pun juga beranggapan demikian.

Bukan saya, tetapi anda sendiri yang boleh jawab soalan ini. Hal ini akhirnya menjadi punca rasa tidak puas hati ahli.

Panas di hati ahli menggelegak seperti air panas yang menggelegak di atas dapur. Tertumpah di tangan, merah dan melecur tangan dibuatnya.

Kalau tak nak bantahan, jangan bentang! Luluskan sahaja! Kami cuma ikut dalam ‘terpaksa’! Pernah dengar? Selalu kan?

Begitu juga apabila berdiskusi tentang kegagalan persatuan/ kelab. Contoh mudah, persatuan sukan harus memastikan atletnya berjaya dalam Sukan Malaysia dan pertandingan-pertandingan lain. Tiada cari lain mesti menang banyak pingat emas.

Sasaran bukan perak atau gangsa tetapi emas. Jika gagal, bermakna orang dalam persatuan itu gagal. Kalau sekali boleh diterima. Begitu juga kali kedua.

Kalau kali ketiga dan banyak kali diberikan peluang, bermakna petunjuk prestasi utama (KPI) tidak dicapai. Namun ‘diktator’ dalam persatuan tidak akan mengalah.

Maksud saya mengalah untuk berundur. ‘Diktator’ seperti ini dalam persatuan ini harus disingkir. Namun mereka licik dalam semua gerak dan tindak.

Orang luar yang geram hanya mampu komen menghentam di media sosial — paling popular Facebook. Si penghentam menjadi tular, tetapi tiada kesan.

Hanya tin kosong. Tindakan mulia ialah sertai persatuan/kelab itu. Bawa sebanyak mungkin orang lain menjadi ahli.

Kemudian, singkirkan ‘diktator’ dan pentoksik persatuan melalui sesi pemilihan ahli jawatankuasa baharu dalam mesyuarat agung. Tetapi ini jarang berlaku. Ada yang tidak berani. Jika berani pun, tidak mampu menahan gelombang ‘politik’ berpersatuan. Berpersatuan hati mesti kental.

Teguran dan saranan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah iaitu persatuan sukan yang diterajui orang yang sama walaupun terbukti gagal membawa sebarang kejayaan atau kemenangan kepada pasukan perlu berundur daripada badan induk berkenaan harus diambil perhatian serius.

“Beri laluan kepada individu yang berkemampuan dan mempunyai kebolehan memimpin badan sukan berkenaan.” jelas Abdul Karim yang turut khuatir kerana terdapat persatuan sukan di Sarawak masih mengekalkan barisan kepimpinan yang sama sejak SUKMA 2016.

“Menjadi satu kerugian bagi kita apabila menyaksikan persatuan masih diterajui individu yang sama walaupun terbukti gagal membawa kemenangan kepada pasukan.” Fahami dan hadam kekhuatiran Abdul Karim ini kerana untuk senada dengan usaha Kerajaan Sarawak menjadi negeri maju, bermakna sukan juga harus maju.

Maju di sini diukur daripada sebanyak mungkin kejayaan dalam mana-mana pertandingan. Selayaknya sasaran hingga ke Sukan Olimpik dan kejohanan dunia.

Setidak-tidaknya Sukan Asia. Jangan difikirkan sangat jawatan dalam persatuan. Ia hanya jawatan yang tidak menyebabkan individu itu kaya.

Tidak juga mempopularkan individu itu. Dalam persatuan/kelab, lebih banyak wang dari poket sendiri dikeluarkan berbanding wang masuk.

Jika hanya untuk duduk di kerusi empuk ketika menyaksikan pertandingan, harus diingat kadang-kadang AJK sendiri yang mengangkat kerusi itu, kemudian dia sendiri yang duduk. Akhir program, dia sendiri juga yang menyimpan balik kerusi itu.

Akui kegagalan diri jika persatuan atau kelab yang diterajui gagal mencapai tahap yang dimahukan.

Tidak miskin jika mengakui diri kita gagal. Jangan terlalu tersihir dengan jawatan yang dipegang. Ia hanya sementara.

Dan jawatan ini juga datang bersama tanggungjawab yang besar. Ia bukan boleh dibawa mainmain. Banyak orang bergantung kepada persatuan/kelab terutama dari segi penganjuran program.

Tidak guna mempunyai persatuan/kelab tetapi tidak mampu menganjurkan sebanyak mungkin program atau pertandingan. Ketidakmampuan ini sudah boleh dikategorikan gagal.

Jadi, beri ruang kepada orang lain pula untuk menganjak keberkesanan persatuan/kelab. Jika tekad kekal enggan undur diri, jangan hairan ahli biasa banyak yang akan lari. Yang rugi bukan persatuan/kelab, tetapi ahli dan negeri serta negara. Fikir-fikirkan dan tanya diri, “Wajar atau tidak aku mengundur diri?” Tanya dan sendiri jawab.

LAIN-LAIN BERITA

Jaga adab di jalan raya

TIDAK kira hujan atau panas, kebanyakan lelaki lebih gemar menunggang motosikal untuk ke tempat bekerja. Walaupun terpaksa menggunakan baju hujan, motosikal tetap pilihan utama mencari

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

BERITA TERBARU