ARTIKEL

Ukee

Tidak ada duit ketika jadi ahli parlimen

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MENJADI ahli parlimen pada usia 26 tahun, adalah sesuatu yang mengejutkan bagi dirinya.

Sejak di universiti memang beliau memasang impian untuk memasuki politik, namun beliau tidak menyangka impian itu hadir dengan begitu cepat. Namun itu hakikat yang terpaksa diterima Mutang Tagal (kini Datuk) pada 26 April 1982.

“Saya tidak ada duit pada waktu itu.

Justeru, saya terpaksa berpakat dengan Datuk Noor Tahir yang menjadi ADUN Lawas dan Datuk James Wong Kim Min yang merupakan ADUN Limbang.

“Noor Tahir merupakan Menteri Perhutanan, manakala James Wong merupakan Presiden Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Manakala Limbang dan Lawas adalah kawasan yang berada dalam parlimen saya,” katanya.

Bliau kemudian berpakat dengan kedua-dua ADUN itu untuk kerap turun padang di Parlimen Bukit Mas dan mengunjungi kedua-dua DUN tersebut. Namun beliau merayu agar mereka menyediakan bantuan dana.

“Hanya dengan cara itu saya dapat berkhidmat kepada rakyat, kerana kita tahu Limbang dan Lawas yang menjadi tanggungjawab saya amat besar,” ujarnya.

Pada 1980-an, untuk bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain begitu mencabar.

“Komunikasi menjadi halangan besar.

Kita perlu berjalan kaki jika di kawasan yang tidak mempunyai jalan raya.

Untuk kawasan yang lebih pedalaman, kita terpaksa menggunakan bot, seperti di Sungai Mendamit,” dedahnya.

Mutang Tagal lahir pada 5 Oktober 1954 di Buduk Nur, Ba’kelalan dengan bapanya merupakan seorang paderi.

Beliau menerima pendidikan sekolah rendah di Sekolah Rendah Long Semadoh dan Ba’kelalan sebelum meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Lawas dan Limbang.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri, yang menempatkan banyak pelajar berbakat ketika itu, sebelum terpilih meneruskan pembelajaran dalam jurusan undangundang di Universiti Malaya.

Sebaik lulus katanya, beliau memulakan praktis guamannya dengan menjawat pegawai undangundang di Bank Bumiputera sebelum menyertai firma guaman Tetuan Wan Ullok, Chin dan Jugah.

Ketika berada di firma tersebutlah katanya, namanya dicadang untuk menggantikan penyandang Ahli Parlimen Bukit Mas, Datuk Rancha Umong yang telah menyatakan hasrat untuk bersara.

Nama Mutang serta dua individu lain kemudian dipanjangkan kepada Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) waktu itu, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk keputusan akhir.

“Pemilihan saya sebagai calon dimaklumkan oleh Datuk Stephen Wan Ullok, dan ia merupakan satu kejutan.

“Lebih mengejutkan apabila saya memasuki gelanggang penamaan calon pada 26 April 1982, tidak ada calon lain yang hadir. Ini menjadikan saya menang tanpa bertanding pada usia yang begitu muda.

“Dan, ketika tempoh yang sepatutnya berkempen itu, saya telah diterima masuk atau Call to the Bar di Sarawak.

Sebagai ahli parlimen muda dan baharu, beliau merasai tekanan yang amat sangat. Beliau juga terpaksa melupakan kemanisan umur muda.

“Saya menjadi tua dalam masa yang singkat, kerana bergaul dengan mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Namun ia mematangkan saya dan saya dapat berasakan betapa bertenaganya saya pada waktu itu,” katanya.

Mutang kemudian berjaya melalui tempoh penggal itu dengan bergaya.

Dan, apabila dicalonkan sekali lagi pada 1986, beliau berjaya mengutip 9,450 undi untuk menewaskan calon Bebas, Mohd Bujang Mohd Yassin dengan majoriti 5,863 undi.

Mutang berusaha berkhidmat sehabis baik dalam keadaan yang sukar di kawasan paling hujung di Sarawak itu.

Namun kesungguhannya tidak bermakna beliau terlepas daripada kritikan dan fitnah.

Akhirnya, pada pilihan raya seterusnya pada 21 Oktober 1990, beliau digantikan dengan muka baharu, Michael Lisa Kaya.

Biarpun digugurkan, ia tidak bermakna Mutang berpaling arah. Beliau cekal untuk menyokong parti PBB dan BN yang mengangkatnya sebelum ini.

Dan, pengorbanan dan kesetiaan ini berbaloi apabila abangnya, Dr Judson Tagal kemudian diangkat sebagai calon DUN Ba’kelalan pada 1996, apabila kawasan tersebut diwujudkan, hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dr Judson berkhidmat selama tiga penggal dan dilantik sebagai menteri muda sebelum terlibat dalam nahas helikopter di kaki Gunung Murud, Bario pada 2004 yang menyebabkan nyawanya melayang.

Ketika itu kata Mutang, beliau telah terlibat dalam perniagaan dan hanya memberi sokongan dari belakang kepada abangnya itu.

Selepas kematian Dr Judson, nama Mutang kembali hangat dan sentiasa diperkatakan setiap kali pilihan raya negeri dan parlimen. Namun beliau tidak pernah melobi untuk tujuan tersebut.

Nama Mutang bagaimanapun kembali menggelegak pada 2021 apabila beliau menjadi pengasas dan dilantik sebagai Presiden Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI).

Ini diikuti dengan pelantikan beliau sebagai Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan dan Perindustrian Dayak (DCCI) serta Timbalan Presiden, Persatuan Perniagaan.

Pada 12 Januari 2017, Mutang turut dilantik sebagai Konsul Kehormat Romania untuk Sarawak.

Namun kejutan paling besar datang dua minggu lalu bagi pemilik Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Curtin University itu.

Suami kepada Datin Ho May Leng ini telah dinamakan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu pada 19 April lalu.

Memasuki usia 70 tahun, Oktober depan, Mutang merakamkan terima kasih tidak terhingga kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas atas cadangan pelantikan tersebut.

“Juga kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya berasa amat berbangga dan dihormati atas kepercayaan yang diberikan ini,” katanya kepada penulis.

Ceritanya, beliau dimaklumkan tentang pencalonan itu daripada Uggah sebelum menerima panggilan daripada Anwar tidak lama kemudian.

Menjadi Dayak pertama yang memegang jawatan tersebut, beliau mengakui ia tanggungjawab yang amat besar.

“Pertamanya kerana saya kembali ke Parlimen hanya selepas 34 tahun, dan keduanya, saya mewarisi kasut besar yang perlu diisi,” dedahnya.

Rasa tersebut sebenarnya wajar kerana kerusi itu pernah diduduki oleh nama-nama besar seperti Wan Junaidi dan Tan Sri Rais Yatim; yang pernah berada dalam kabinet negara dan pakar dalam bidang undang-undang.

Beliau bagaimanapun berikrar akan melakukan sehabis baik, demi memartabatkan institusi tersebut dan menjadikan perdebatan di dewan itu berlangsung dengan kualiti yang tinggi.

Besar harapan Mutang, besar itu jugalah harapan rakyat Sarawak, masyarakat Dayak dan Lun Bawang, khasnya.

Penulis percaya, dengan peluang kedua yang terhidang, sosok yang lembut namun tegas ini akan mencipta legasinya tersendiri.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak

BERITA LAIN

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

Kosong-kosong

ESOK, umat Islam seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maka berakhirlah perjuangan sebulan Ramadan. Syawal tiba sebagai hadiah kepada umat Islam yang berjaya menempuh

Lempar batu, sembunyi tangan

APAKAH yang mengecewakan anda sebagai rakyat Malaysia ketika ini? Adakah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pendapatan yang rendah, peningkatan inflasi atau kos sara hidup yang tinggi? Atau

Resolusi 2728

KETIKA Dewan Keselamatan PBB menyetujui resolusi menuntut gencatan senjata segera dikuat kuasa di Gaza, lebih 33,000 rakyat Palestin sudah pun terbunuh dengan hampir 76,000 cedera

Jangan mudah tergoda

TINGGAL beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pusat beli-belah kini menjadi tumpuan. Suasana juga begitu sibuk. Setiap tahun kita dapat lihat

Hidup ini keras

PADA pagi Rabu, saya menempah tukang bersih rumah yang diperkenalkan oleh sahabat. Seorang ibu tunggal berusia 34 tahun dan anak perempuan berusia 14 tahun. Apabila

BERITA TERBARU

Lelaki parah dipijak gajah di Gerik

IPOH: Seorang lelaki cedera parah akibat dipijak gajah di Tugu Peringatan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat Gerik, malam tadi. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar

Mangsa tanah runtuh terima bantuan

REPOK: Mangsa-mangsa tanah runtuh di Rumah Jupong dan Rumah Augustine di sini menerima bantuan dan sumbangan khas daripada Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,