Tidak ada satu kaum tertentu sahaja yang boleh mentadbir negeri bersendirian – Abang Johari

KOTA PADAWAN: Tidak ada satu kaum tertentu yang mendominasi populasi di Sarawak, dan tidak ada satu kaum tunggal yang boleh mentadbir negeri Sarawak bersendirian, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Sarawak meliputi kawasan yang amat luas dengan jumlah penduduk hanya 2.8 juta.

“Statistik menunjukkan bahawa jumlah kaum Melayu dan Iban adalah sama banyak dari segi bilangannya, tetapi jika anda masukkan juga jumlah kaum Iban dan Bidayuh, sudah tentu bilangannya lebih ramai, dan jika anda turut masukkan Melayu dan Melanau dalam kumpulan yang sama, populasinya adalah lebih kurang, sama.

“… begitu juga dengan kaum Cina. Ini bermakna jumlah penduduk negeri secara keseluruhannya dibahagikan kepada tiga kumpulan, dan angkanya adalah sama,” katanya semasa merasmikan sambutan ulang tahun ke-24 Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pelancaran mural “The Last Ring Ladies Mural” di sini hari ini.

Dalam keadaan sedemikian, katanya semua penduduk Sarawak perlu bekerjasama membangunkan negeri, dan tidak ada satu kaum tertentu yang boleh mendominasi; namun apa yang paling penting adalah sesiapa jua yang menjadi Ketua Menteri, dia mesti berlaku adil kepada semua kaum di Sarawak.

“Kita inklusif, setiap orang perlu berada dalam kerangka kerja pembangunan,” kata Abang Johari.

Beliau berkata wawasan kerajaan negeri adalah untuk mencapai impian Sarawak negeri maju pada tahun 2030, dan semua kaum di Sarawak memainkan peranan dalam membangunkan negeri, tanpa ada sesiapa yang didiskriminasi.

“Itu sebabnya kenapa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) berlaku adil kepada semua dan setiap kaum di Sarawak,” katanya.

Menurut beliau ada setengah pihak yang berpandangan orang ramai perlu mengundi pembangkang, kerana apa sahaja keputusan PRN nanti, kerajaan negeri akan terus melaksanakan pembangunan.

Ketua Menteri itu bagaimanapun mengingatkan bahawa hanya kerajaan dengan dasar yang baik, wawasan serta perancangan yang mantap, akan dapat melaksanakan pembangunan ini.