PEP Guardiola menegaskan dia tidak akan meninggalkan Manchester City walaupun telah berjaya membantu pasukan itu memperolehi kejuaraan treble musim ini.
Menurutnya, situasi pasukan itu yang berdepan dakwaan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris juga tidak akan mempengaruhi tempoh dia berada di Stadium Etihad.
Selepas kejayaan meraih kejuaraan EPL, Guardiola berpeluang menjadi pengurus kedua dalam sejarah bola sepak Inggeris yang memenangi tiga trofi terbesar sekiranya menang menentang Manchester United dalam final Piala FA dan Liga Juara-Juara menentang Inter Milan.
Guardiola berkata, dia mempunyai kontrak selama dua tahun lagi bersama City dan akan terus menghormati kontrak tersebut.
“Buat masa ini saya tidak berfikir untuk meninggalkan pasukan, tetapi siapa tahu? Namun, saya tidak berfikir mengenai perkara itu.
“Saya ingin terus berada di sini musim depan tanpa bergantung kepada keputusan. Saya mahukannya, tetapi saya tidak tahu apa yang saya akan rasa, menang atau kalah dalam dua peluang yang ada di hadapan kita.
“Perasaan saya ialah saya mempunyai kontrak dan apabila saya menandatanganinya maka saya mahu menghormati kelab.
Saya akan kekal musim depan,” ujarnya.