Tidak banyak tapi ikhlas dari hati

BETONG: Nak nulong hero kita di barisan hadapan, bajet ciput sekalipun sik jadi masalah, yang penting niat ikhlas – itu tegas Pengarah Kolej Komuniti Betong Shairul Al-Suzana Shahidan selepas pihaknya berjaya menghasilkan 1,000 pelindung muka. Katanya, inisiatif tersebut diambil bagi menampung keperluan petugas barisan hadapan di Betong ketika ini biarpun ada pihak yang mempersoal mengapa mesti pelindung muka, bukan benda lain.

“Kami beranggapan pelindung muka sangat penting ketika ini terutama bagi kegunaan petugas yang berhadapan dengan pesakit mahupun orang awam. “Dan, ia murah serta mudah dibuat. Saya akui kami sememangnya tidak mempunyai bajet yang besar untuk menyumbang sesuatu yang lebih mahal.

“Tetapi pasukan saya ada semangat luar biasa serta niat untuk membantu wira-wira yang bertungkus-lumus memerangi pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah 1,000 pelindung muka itu juga sudah diserahkan… kami berasa lega dan saya berterima kasih juga kepada Maksak Wanita Betong (MWB) yang turut membantu khususnya Pengerusi Ani Isek, Timbalan Pengerusi Dayang Madinah Abang Yaman dan Ketua Biro Kesihatan Lina Lee,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Dalam proses menyiapkan pelindung muka tersebut, pihaknya turut berhadapan cabaran. “Cabaran paling utama ialah bekalan barang-barang yang agak terhad di Betong terutamanya bahan getah yang terpaksa ditempah dari Kuching yang mengambil masa hampir dua minggu.

“Namun, dalam masa me-nunggu, kami manfaatkan untuk menyiapkan proses lain. “Saya ingin tegaskan, sepanjang menyiapkan pelindung muka kami memberi keutamaan terhadap aspek kebersihan serta perkara lain yang disarankan oleh kerajaan.

“Saya sama sekali tidak menyangka dengan kakitangan kolej yang tidak ramai, misi menyiapkan 1,000 pelindung muka dan hidung dapat direalisasikan,” ujarnya.

Tambahnya, kenangan terindah tersebut mungkin boleh menjadi bahan cerita kepada cucu-cicit suatu hari kelak tatkala mengimbau tentang peristiwa Covid-19. “Sekurang-kurangnya ada cerita tersendiri tentang sumbangan kita dalam bersama-sama memerangi  wabak Covid-19,” jelasnya.

\Sumbangan 1,000 pelindung muka secara rasmi diserahkan oleh Suzana kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Betong juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam Dr. Johnny Pangkas. Selain turut diserah kepada Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Zamry Alli serta Unit Makmal Patologi Perubatan dan Tabung Darah Hospital Saratok.