Tidak bayar cukai kastam, pemandu lori ditahan

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 telah merampas 250 kotak bir bernilai RM 38,212 disyaki tidak membayar cukai kastam dalam satu operasi yang dijalankan semalam.
Komander PPM Wilayah 5, ACP Shamsol Kassim berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun yang juga pemandu lori membawa muatan tersebut turut ditahan.
Kata Shamsol, pasukan operasi telah mengekori lori yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Batu 7, Kota Sentosa sekitar jam 2.15 petang.
Jelas beliau, suspek menyedari bahawa dirinya sedang diekori lalu cuba melarikan diri namun telah berjaya ditahan oleh pasukan operasi di Taman Sarmax.
“Suspek telah diarahkan untuk membuka pintu belakang lori berkenaan dan mendapati sejumlah muatan berisi minuman bir.
“Hasil pemeriksaan mendapati dokumen yang dikemukakan berkenaan kotak minuman bir tersebut mencurigakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Shamsol, kesemua barangan rampasan termasuk lori dianggarkan nilai keseluruhan RM 118,212 telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Padawan untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Pemandu lori yang membawa 250 kotak bir disyaki tidak membayar cukai kastam telah ditahan di Kota Sentosa oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5.