Tidak boleh guna pukat tunda

TANJUNG MANIS: Sebuah bot nelayan tempatan Kelas A ditahan ketika menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda di Zon A sekitar pesisir pantai Kampung Alit pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mohd Ariz Md Kassim berkata, aktiviti nelayan itu dikesan oleh aset Maritim Malaysia sekitar jam 12.30 tengah hari ketika rondaan Ops Permai sekitar perairan Kabong.

Sebelum ini katanya, peringatan telah diberikan kepada komuniti nelayan agar tidak melanggar dan menyalahi syarat sah lesen bot Kelas A, menangkap ikan menggunakan pukat tunda di zon yang tidak dibenarkan.

“Dalam operasi itu, dua nelayan tempatan berusia 25 dan 52 tahun ditahan. “Bot berisi ikan campur seterusnya diiring ke jeti penumpang Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(B), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan menggunakan pukat tunda,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa komuniti maritim dan nelayan agar sentiasa mematuhi syarat sah lesen bot ketika melakukan aktiviti penangkapan ikan.

Pada masa yang sama katanya, nelayan juga harus mengutamakan keselamatan dengan sentiasa peka terhadap perubahan cuaca di samping memakai jaket keselamatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis jika berlaku kecemasan atau kejadian mencurigakan menerusi talian 084-613292 (Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) atau MERS 999,” ujarnya.