Tidak cerminkan rakan kongsi

KUCHING: Ketidakadilan berlaku dalam pembentangan Belanjawan 2020 yang dibentang Menteri Kewangan Lim Guan Eng apabila pemberian perbelanjaan pembangunan Sabah lebih besar daripada Sarawak iaitu masing-masing RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion.

Pengerusi Persatuan Patriot Sarawak Datuk John Lau berkata, terdapat perbezaan ketara dalam perbelanjaan pembangunan untuk Sarawak berbanding Sabah sedangkan kedua-dua negeri itu adalah rakan kongsi yang sama dalam mempersetujui MA63.

“Oleh itu, peruntukan kewangan mestilah mencerminkan perkongsian yang adil kerana kita adalah rakan kongsi yang sama.

“Walaupun Sarawak berada di bawah pemerintahan parti pembangkang di peringkat persekutuan, namun Kerajaan Persekutuan harus menyedari bahawa orang yang tinggal di Sarawak juga adalah rakyat Malaysia,” katanya semasa dihubungi Suara Sarawak, semalam.

Tambah beliau, peruntukan Sarawak tidak seharusnya rendah kerana negeri ini penyumbang utama industri minyak dan gas dengan 850,000 tong minyak.

“Keseluruhan Belanjawan 2020 yang dibentangkan adalah memuaskan.

“Cuma kita inginkan keadilan dalam perbelanjaan pembangunan Sarawak.

“Apa yang diperuntukkan kepada Semenanjung Malaysia perlu diperuntukkan sama rata ke Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Suara Sarawak