Tidak dibenar rentas zon sambut raya

KUCHING: Hanya 10 peratus anggota PDRM di Sarawak dibenarkan cuti bagi menyambut perayaan Hari Raya.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, anggota yang dibenarkan bercuti akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di daerah masing-masing.

“Walaupun demikian, mereka tidak dibenarkan merentas daerah kerana larangan merentas zon masih berkuat kuasa.

“Larangan ini juga termasuk mereka yang bertugas di Semenanjung Malaysia. Ini kerana arahan merentas negeri masih belum diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya Gawai 2021 di sini, hari ini. Beliau memberitahu bahawa kompaun kepada mereka yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19 boleh dikeluarkan oleh mana-mana agensi yang dibenarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kompaun bukan sahaja boleh dikeluarkan PDRM malah agensi dibenarkan juga boleh mengenakan kompaun.

“Biasanya terdapat beberapa pasukan pemantauan di setiap daerah bagi membuat pemeriksaan kepada mereka yang melanggar SOP,” ujarnya.

Mengulas mengenai terdapat satu kluster di Stutong, beliau menyerahkan pihak Pejabat Kesihatan Daerah untuk mengambil tindakan dan kompaun kepada penganjur program

Suara Sarawak