Tidak faham makna rentas daerah

SIBURAN: Polis akan terus mengesan mana-mana individu yang cuba untuk balik bercuti Gawai Dayak melalui sekatan jalan raya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Itu jelas Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan ketika ditemui Suara Sarawak semasa menjalankan pemeriksaan di dua laluan di Batu 18 Jalan Kuching- Serian semalam.

Katanya, sejak 22 Mei lalu sehingga kini, seramai 18 individu dikompaun kerana melakukan kesalahan rentas daerah tanpa permit dan gagal mengemukakan alasan kukuh.

“Kita berharap masyarakat terus akur dengan setiap SOP melibatkan larangan untuk tidak memasuki daerah ini.

Untuk itu mereka perlu mempunyai permit kelulusan perjalanan daripada polis.

“Sejak PKPB ini saya dapati ramai yang patuh, dan boleh dikatakan 99.95 peratus mematuhi arahan.

Namun cuma segelintir yang masih tidak faham akan arahan PKPB ini,” tegasnya.

Tambahnya lagi, ada yang tidak memahami perkara melibatkan rentas daerah sepanjang PKB ini.

“Melalui dua laluan iaitu Kuching-Serian dan KuchingSerian ini,” katanya.

Angka purata harian dianggarkan lebih 9,000 hingga 10,000 kenderaan telah melalui sekatan jalan raya di IPD Padawan.

“Sekiranya mereka tidak mempunyai permit atau kelulusan untuk melakukan rentas daerah, kita akan ambil tindakan kompaun seperti yang termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967,” ujarnya.

Tinjauan Suara Sarawak ke lokasi sekatan mendapati polis dan pegawai tentera yang bertugas menjalankan pemeriksaan ketat.