ARTIKEL

Tidak fasih bahasa Melayu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SELEPAS 60 tahun tinggal di negara ini, masih lagi tidak mampu bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik?

Kalau ada yang tidak dapat bercakap dalam bahasa Inggeris dengan baik dan betul, akan ada pihak yang akan heboh bagai langit hendak runtuh.

 Tetapi jika terdapat kes rakyat tidak faham dan tidak fasih menggunakan bahasa Melayu, mereka akan memberi pelbagai alasan.

Mereka ini rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, adalah wajib untuk mereka menggunakan bahasa itu dengan baik.  

Maksudnya, tahap penguasaan hendaklah memuaskan, malah perlu fasih dan faham akan bahasa itu.

Tidak ada alasan untuk mana-mana rakyat yang mengaku dirinya rakyat Malaysia tidak faham dan tidak fasih menggunakan bahasa itu.

Ya, kecualilah mereka itu memang buta huruf, tidak belajar di sekolah atau tidak terdedah kepada dunia luar. Itu pun tidak masuk akal.

Kalau tidak faham dan tidak fasih hendaklah sedia untuk belajar.

Isu berkaitan dengan penguasaan bahasa Melayu sekali lagi tular apabila pegawai Jabatan Imigresen di Johor didakwa mempersoalkan seorang wanita yang tidak fasih berbahasa Melayu ketika ingin memperbaharui pasport di UTC Johor beberapa hari lepas. 

Perlu diingatkan bahawa sementara bahasa Inggeris itu penting, bahasa Melayu juga lebih penting untuk rakyat di negara ini berkomunikasi. 

Saya pernah melihat bagaimana ada pensyarah di universiti awam langsung tidak fasih dalam bahasa Melayu.

Saya hairan bagaimana mereka ini dipilih untuk menjadi pensyarah di universiti awam.

Jangan fikir atau tuduh saya tidak mementingkan bahasa Inggeris.  

Hanya orang yang tolol saja mengatakan bahasa Inggeris itu tidak penting atau tidak harus diberi perhatian berat.

Sebagai orang yang terdidik dalam bahasa Inggeris dan turut menulis dalam bahasa Inggeris, saya sedar akan peranan dan kepentingan bahasa Inggeris dalam kehidupan dan kerjaya seseorang.

Malah, sebenarnya bukan bahasa Inggeris sahaja penting.

Bahasa lain seperti bahasa Mandarin, Arab, Jepun, Korea dan Rusia juga penting.

 Yang kita persoalkan ialah, ketika kita menekankan pentingnya menguasai bahasa Inggeris, kita juga perlu memberi perhatian berat terhadap penguasaan bahasa Melayu. 

Kita tidak boleh mengabaikan bahasa komunikasi utama negara ini.

Kita tidak boleh membiarkan mana-mana rakyat, termasuk anak muda tidak menguasai bahasa kebangsaan negara. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Sekali lagi saya tekankan, sebagai rakyat Malaysia atau mana-mana individu yang mengakui dirinya sebagai rakyat Malaysia, mereka wajib menguasai bahasa Melayu. 

Jangan beri seribu satu alasan mengapa tidak dapat menguasai bahasa itu lebih-lebih lagi selepas melanjutkan pelajaran sehingga tingkatan lima.

 Memang cukup aneh apabila ada rakyat Malaysia tidak pandai dan tidak fasih dalam bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negaranya. 

Harus diingat, tiada maaf bagi sesiapa pun untuk tidak dapat atau tidak pandai bercakap dalam bahasa kebangsaan negaranya. 

Malah, amatlah memalukan bagi mana-mana rakyat untuk tidak faham dan tidak menguasai bahasa komunikasi utama negaranya.

 Bayangkan, rakyat Jepun yang tidak fasih dan tidak faham akan bahasa Jepun?

Bayangkan juga warganegara Rusia yang tidak faham dan tidak menguasai bahasa Rusia?  

Hakikatnya, sebelum seseorang diterima menjadi warganegara, satu daripada syarat bagi kebanyakan negara di dunia ialah individu berkenaan perlu menguasai bahasa kebangsaan negara itu.

Syarat ini juga diamalkan di negara ini.

Dalam kes berkaitan isu dengan Jabatan Imigresen, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak berkuasa mempunyai sebab untuk curiga sekiranya seseorang warganegara itu tidak memahami bahasa kebangsaan.

“Kalau insiden seperti itu berlaku, saya harap ibu bapa berkenaan boleh memahami sebagai kewajipan warganegara adalah mempelajari dan menguasai bahasa dengan baik.

“Tak perlu jadikan isu sampai nak digambarkan sebuah jabatan agensi kerajaan mempersulitkan urusan untuk membaharui dokumen perjalanan hanya kerana syarat pas.

“Jangan tengok kat situ saja.

Tengok dari segi kewajipan untuk menguasai bahasa selama tinggal di negara ini, kalau tak, timbulkan keadaan yang syak wasangka adakah betul dia warga sini kerana tak boleh langsung berbahasa misalnya,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Sebagai bahasa kebangsaan, setiap rakyat wajib mempelajari, menguasai malah fasih dalam bahasa Melayu.

Tidak usahlah mencari seribu satu alasan untuk menyatakan mengapa seseorang itu tidak fasih dan tidak pandai bercakap dalam bahasa Melayu. 

Ironinya, ada pihak yang akan memperlekehkan, malah memandang rendah terhadap mereka yang tidak fasih dan tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik selepas berada di bangku sekolah belasan tahun. 

Tetapi mereka diam membisu apabila ada individu dan rakyat yang tidak menguasai dan tidak fasih bahasa Melayu. 

Yang kita hairan, bagaimanakah pekerja asing dari Nepal, Bangladesh, India dan sebagainya begitu cepat menguasai bahasa Melayu?

Sebaliknya, ada rakyat di negara ini selepas puluhan tahun, tidak menguasai bahasa kebangsaan negara.

Satu daripada tanda kecintaan seseorang terhadap negara ini ialah dengan menguasai bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

Ia juga menjadi identitinya sebagai rakyat Malaysia.

Bahasa Melayu bukan sekadar sebagai bahasa kebangsaan, tetapi juga bahasa ilmu dan bahasa komunikasi.

Justeru, bahasa itu wajib dipelajari, dikuasai, dan digunakan dengan sebaik mungkin. Tiada kompromi dari segi ini.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara..

LAIN-LAIN BERITA

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

BERITA TERBARU

Berita yang menyedihkan – Datuk Sim Kiang Chiok

KUCHING : Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching Datuk Sim Kiang Chiok, menyifatkan pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib

Projek ART Johor bechuntoka pemujur Sarawak

KUCHING: Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak deka nyadi malin ungkup projek ART ti deka dipejalai di nengeri Johor. Perintah Nengeri Johor benung ngelanggur