Tidak jadi bom air

KUCHING: Operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Sri Aman menggunakan pesawat Bombardier CL-415 milik Maritim tidak dapat dijalankan, hari ini.

Ia disebabkan jarak penglihatan yang amat terhad serta sumber air yang meragukan.

“Operasi pada hari ini lebih tertumpu kepada pemerhatian kawasan kebakaran dan kawasan sekitar,” kata Maritim Sarawak dalam kenyataan, hari ini.

Pesawat Bombardier CL- 415 yang berlepas dari Miri pagi tadi, digunakan bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (bomba) memadam kebakaran tanah gambut di Sri Aman.

Kebakaran tanah gambut di Sri Aman dianggarkan berkeluasan 202 hektar di mana setakat ini, hanya 51 hektar kawasan kebakaran yang berjaya dipadamkan.

Kebakaran turut menyebabkan Sri Aman mengalami jerebu sehingga mencapai tahap bahaya, apabila mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300.