Tidak lagi beratur seawal 4 pagi

MIRI: Perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu (FPL) Hospital Miri akan memberikan keselesaan serta menjimatkan masa pesakit mengambil ubat berbanding datang awal untuk mengambil nombor giliran.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting berkata, kemudahan pertama diperkenalkan di Miri itu juga menyelesaikan akan masalah kesesakan di tempat letak kenderaan.

“Pesakit atau wakil pesakit hanya perlu menyerahkan kad pandu lalu kepada petugas di kaunter seterusnya mengambil ubat tanpa menunggu lebih lama. Yang pasti menjimatkan masa,” katanya semasa melancarkan FPL Hospital Miri pagi semalam.

Adun Piasau itu menjelaskan, pembinan FPL dengan kos RM150,000 itu disumbangkan oleh NGO, syarikat swasta dan komuniti.

“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membina FPL seterusnya meringankan beban pesakit yang sebelum ini beratur panjang untuk mengambil ubat,” katanya.

Sebastian menjelaskan, pesakit di Klinik Kesihatan Miri terpaksa datang seawal jam 4 pagi semata-mata untuk mengambil nombor giliran.

“Ada yang datang dari Bakong dan Bekenu ke Miri seawal jam 4 pagi untuk mendapatkan nombor giliran terawal sebelum operasi Klinik Kesihatan dibuka,” jelasnya.

Situasi itu tambah beliau berlaku sejak bertahun-tahun kerana pesakit tidak sanggup menunggu terlalu lama. Sehubungan itu, Sebastian Ting bersyukur kerana Hospital Miri telah menyediakan kemudahan FPL yang akan lebih menjimatkan masa dan mengurangkan kesesakan.

Katanya lagi, untuk menggunakan perkhidmatan FPL ini, pesakit atau waris pesakit hanya perlu mendaftar di Hospital Miri terlebih dahulu.

“Jika pesakit tidak dapat datang mengambil ubat, ahli keluarga atau wakil mereka boleh mengambil ubat dengan hanya menyerahkan kad di kaunter FPL,” jelasnya.

Datuk Bandar Adam Yii; Pengarah Hospital Miri Dr.Jack Wong serta ahli NGO Rotary Club of Oil Town Green Summit antara yang turut hadir.

Suara Sarawak