Tidak lagi bergantung kepada jana kuasa

KUCHING: Penduduk dari tiga rumah panjang di Julau kini menikmati akses bekalan elektrik 24 jam menerusi Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar Sarawak (Sares). Timbalan Menteri Utiliti Elektrik Luar Bandar Datuk Liwan Lagang berkata, Sares sebahagian daripada Pelan Induk Elektrik Luar Bandar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak pada tahun 2016.

“Kita memperkenalkan bekalan elektrik ini kepada beratus kampung dan beribu isi rumah di kawasan pedalaman yang kebanyakannya menggunakan tenaga solar. “Pelaksanaan Sares merupakan inisiatif untuk merealisasikan pelan induk penuh tenaga elektrik di Sarawak menjelang 2025,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Sares kepada tiga rumah panjang di Rumah Jepun, di sini baru-baru ini.

Ketua rumah panjang terlibat iaitu Rumah Jepun, Rumah Japok dan Rumah Sat menganggap inisiatif itu membebaskan penduduk daripada menampung kos jana kuasa yang mahal seperti sebelumnya.

Menurut Tuai Rumah Jepun Jamit, pembiayaan kos bahan bakar yang ditanggung selama ini membebankan penduduk rumah panjang yang kebanyakannya adalah golongan petani. “Terdapat banyak perubahan yang dialami sekarang terutama dari segi kos malah semua kini dapat menggunakan peralatan elektrik di rumah yang banyak memudahkan penduduk,” ujar beliau.

Manakala Tuai Rumah Japok Imang menambah, penduduk rumah panjang juga dapat menganjurkan program kemasyarakatan dan aktiviti rekreasi pada bila-bila masa tanpa perlu bimbang had penggunaan jana kuasa lagi. “Kami juga dapat menyimpan barang makanan supaya tahan lebih lama di peti sejuk terutama untuk persiapan pada majlis akan datang,” katanya.

Menurut Tuai Rumah Sat Andil, beliau sangat menghargai pemberian tersebut yang mempertingkatkan corak hidup penduduk di situ yang tidak bergantung kepada sistem jana kuasa yang menelan kos pembelian minyak yang mahal. Beliau turut menasihati penduduk untuk menggunakan peralatan tersebut dengan baik dan sentiasa memastikan pendawaian dalaman di rumah betul dan selamat.

Suara Sarawak