Tidak mahu pemimpin rasuah

BINTULU: Usaha memupuk budaya dan nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak perlu disemai seawal usia muda iaitu sejak mengikuti kelas prasekolah.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, ini kerana golongan terbabit merupakan generasi pelapis yang akan menggalas tugas memimpin negeri dan negara pada masa depan.

Menurutnya, penerapan budaya dan nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak termasuk pengasuh, warga pendidik serta ibu bapa.

Beliau berkata, kerjasama pihak berkaitan penting dalam melahirkan kanak-kanak dan pelajar yang bertanggungjawab dan cemerlang dalam semua aspek kehidupan. “Kita pastinya tidak mahu mempunyai pemimpin yang mengamalkan rasuah dan tidak berintegriti.

“Ia akan merugikan generasi yang akan datang serta mengakibatkan kemunduran dalam pembangunan,” katanya. Beliau berkata demikian pada penutupan Program Refleksi Diri: Integriti Bermula Seawal Usia di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Adun Jepak berkata, masyarakat tiada pilihan lain selain menyemai budaya integriti untuk memajukan negara. “Semakin tinggi budaya dan amalan berintegriti, semakin rendah kadar rasuah.

“Apabila rendahnya kadar rasuah, tahap kemajuan pembangunan semakin meningkat,” ujarnya lagi. Justeru, beliau menyeru golongan terbabit (pengasuh dan guru) untuk mengamalkan budaya berintegriti agar anak didik mereka dapat menjadikan guru sebagai salah satu contoh yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Talib menyifatkan penganjuran program itu penting untuk mendedah dan mempersiapkan pengasuh dan guru dengan ilmu pengetahuan serta tatacara yang betul membudayakan nilai integriti di peringkat taska dan tadika.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk membudayakan integriti dalam segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak seawal usia. “Seperti yang kita sedia maklum, kanak-kanak seawal usia amat cenderung untuk mengikut melalui apa-apa yang mereka lihat dan dengar.

“Di sinilah, peranan pengasuh dan guru amat penting dalam membentuk peribadi awal kanakkanak dan pelajar sepanjang pembelajaran mereka di taska mahupun tadika,” ujarnya.

Tambah Talib lagi, guru dan pengasuh yang berintegriti akan melahirkan pelajar yang berintegriti. Seramai 50 peserta menyertai Program Refleksi Diri: Integriti Bermula Seawal Usia anjuran Persatuan Pengasuh dan Pendidik Awal Kanak-Kanak Bintulu (PAKB).

Pada majlis tersebut, Talib turut menyerahkan sumbangan alat pengimbas suhu kepada 11 tadika di sekitar Bintulu. Beliau turut mengumumkan geran MRP RM5,000 kepada PAKB untuk kegunaan aktiviti tahunan persatuan berkenaan

Suara Sarawak