SIBU: Tidak mengambil ubat antara punca seorang lelaki yang mengalami masalah mental melakukan rompakan di sebuah pasar raya di Sibu Jaya pada Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supritendan Collin Babat ketika mengesahkan kejadian dalam satu kenyataan hari ini berkata, suspek berusia 37 tahun itu bertindak menyamun pasar raya terbabit bersenjatakan sebilah pisau sekitar 1.15 petang.
“Kejadian itu berlaku ketika pengurus pasar raya berkenaan membuat pemeriksaan barang di premis mendapati seorang lelaki tidak dikenali telah masuk ke dalam kedai dan mula mengamuk menggunakan sebilah pisau.
“Suspek telah betindak menyepah dan memecahkan barang-barang di dalam kedai seperti air kotak, air arak dan air gas sebelum mengacukan pisau ke arah dua orang juruwang wanita yang berada di kaunter pembayaran,” kata beliau.
Menurut Collin, dua pekerja itu bertindak melarikan diri untuk keselamatan lalu membuatkan suspek bertindak menghempaskan mesin wang ke lantai.
Beliau memberitahu, tindakan berani orang awam yang berada di tempat kejadian berjaya membantu menangkap suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Siasatan pihak polis turut mendapati suspek merupakan memegang kad psikiatri. Dia dipercayai tidak mengambil ubat untuk kesihatan mentalnya mengikut jadual,” jelas beliau.
Jelasnya, insiden tersebut tidak mendatangkan kecederaan dan jumlah kerugian dianggarkan sejumlah RM2,500.
Sementara itu katanya, pisau yang digunakan telah dirampas dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Sesyen 393 Kanun Keseksaan.
