KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) percaya terdapat percanggahan data dalam sistem permohonan e-Kasih.
Menurut Ketua Penerangan Pemuda PBB, Azizul Annuar Adenan, ini kerana jumlah tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar di Sarawak.
“Kawasan yang didapati mempunyai kadar kemiskinan tertinggi ialah Kuching, Serian dan Simunjan.

“Hakikatnya, terdapat banyak kawasan luar bandar termasuk dalam kategori tersebut, namun hanya kerana kawasan itu mungkin tidak mempunyai capaian internet, isi rumah yang berada di bawah garis kemiskinan tidak boleh berdaftar menggunakan sistem itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Fungsi Khas) Abdul Latiff Ahmad yang mengatakan lebih 97,000 isi rumah di Sarawak hidup dalam kemiskinan.
Menurut Azizul yang juga Adun Tanjong Datu, ketiga-tiga kawasan tersebut boleh dianggap sebagai separa bandar malah Kuching merupakan ibu kota negeri ini.
Justeru katanya, pihaknya berharap agar pendaftaran e-Kasih dipermudahkan atau agensi berkaitan perlu menjalankan tugas dengan turun padang untuk mengetahui keadaan sebenar.
“Kami mengulangi kenyataan Martin Ben (Adun Kedup) yang mengatakan bahawa data e-Kasih harus dikemas kini dan disahkan.
“Dengan data yang ada, Kerajaan Persekutuan harus mengambil tindakan untuk mengurangkan kadar kemiskinan kerana ia juga adalah tanggungjawab mereka.
“Mereka tidak boleh hanya menyebut nombor semata-mata tanpa mengambil langkah untuk menangani masalah itu.
“Sehubungan itu, lebih banyak dana harus diberikan kepada Sarawak bagi membantu meringankan beban isi rumah dan mengubah status semasa mereka,” katanya.
Sebelum ini, Martin mempersoalkan kesahihan jumlah pemohon yang terdapat dalam sistem eKasih seperti yang dinyatakan oleh Abdul Latiff semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Katanya, sistem e-Kasih yang diwujudkan bertahun-tahun dahulu adalah platform pendaftaran secara dalam talian.
“Disebabkan itu, sesiapa sahaja yang menganggap keluarganya miskin boleh mendaftar dan menjadi persoalan ketika ini, adakah data itu telah disahkan dan dikemas kini atau sebaliknya,” katanya.