Tidak menyerah sehingga selesai

SUAI: Kerajaan Sarawak di bawah GPS tidak akan berundur dalam usaha menuntut hak negeri ini terutama cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau akan berjuang habis-habisan dalam memastikan Kerajaan Sarawak beroleh kemenangan ke atas tuntutan tersebut.

Pada masa kini katanya, tuntutan berkenaan kini di peringkat perundangan di mahkamah.

“Pendapatan hasil kutipan cukai jualan tersebut akan dikembalikan semula kepada rakyat Sarawak.

“Melalui pendapatan itu juga, Kerajaan Sarawak dapat melaksanakan pelbagai projek seperti bekalan air bersih, bekalan elektrik, jalan raya, jambatan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pelancaran Jerayawara GPS Zon 12 (A) melibatkan N67 Jepak, N68 Tanjung Batu, N69 Kemena dan N70 Samalaju.

Abang Johari mengajak rakyat supaya terus memberi sokongan dan berdiri teguh di belakang Kerajaan GPS dalam memastikan pembangunan berterusan ke seluruh negeri selain bersama-sama mempertahankan negeri.

Katanya, sekiranya Sarawak ditadbir urus pihak lain, semua hak-hak istimewa negeri akan terhakis.

Pada masa sama, Ketua Menteri menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus memastikan tiga aspek utama iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya menjadi keutamaan pentadbiran negeri.

Kira-kira 7,000 masyarakat sekitar kawasan Parlimen Bintulu menghadiri pelancaran Jerayawara GPS Zon 12A Bintulu di Rumah Panjang Robert Anak Tugang, Suai.

Suara Sarawak