Tidak perlu jadi wartawan tidak berbayar

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius isu penyebaran berita palsu di media sosial. Timbalan Menterinya Teo Nie Ching berkata, kementerian itu memandang serius isu tersebut.

“Saya berharap guru mengingatkan murid-murid agar tidak berkongsi berita yang tidak sahih,” katanya pada Majlis Perasmian Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020, di SK Agama Ibnu Khaldun, di sini semalam.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah) Adzman Talib. Menurut Nie Ching, semasa Ziarah Cakna, guru juga boleh menyedarkan ibu bapa dan masyarakat tentang bahaya berkongsi berita palsu.

“Kita tidak perlu menjadi orang yang pertama berkongsi cerita, menularkan perkara yang belum tentu betul. “Kita tidak perlu menjadi wartawan yang tidak berbayar. Dengan menyebarkan berita palsu, kita mungkin boleh mencetuskan kerisauan, malah mengancam kestabilan dan keselamatan negara,” tegasnya.

Beliau juga mahu warga guru membantu mendidik murid-murid, ibu bapa dan masyarakat agar menjadi lebih bertanggungjawab menggunakan media sosial. “Pada masa yang sama, gunakanlah Ziarah Cakna sebagai medium untuk bertanya khabar yang secara tidak langsung mendidik masyarakat,” tambahnya lagi.

Penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan juga boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Adzman turut mengadakan lawatan ke SK Dato Traoh, SK Agama Ibnu Khaldun, SK Tambay, SMK Kota Samarahan dan SK Dato Mohd Musa.

Dalam hal berkaitan, turut diadakan penyerahan replika cek bernilai RM10,000 daripada wakil Bank Rakyat Samarahan kepada Pegawai Pendidikan Daerah Samarahan Sapawi Mahdi.

Suara Sarawak