SIBU: Orang ramai yang masih belum mendapatkan vaksin Covid-19 digesa datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pasar Sentral Sibu.
Penyelaras PPV Pasar Sentral Sibu David Japang Jok ketika ditemui berkata, sejak pusat itu dibuka 12 Ogos lalu, sambutannya amat menggalakkan.
Penolong Pegawai Perubatan Kanan Sibu itu berkata, semua penerima tidak memerlukan janji temu. Menurutnya lagi, pembukaan PPV tersebut merupakan inisiatif Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) bagi memudahkan masyarakat khususnya di kawasan bandar yang tidak mempunyai pengangkutan dan kurang berkemampuan untuk pergi ke PPV yang agak jauh dari kawasan mereka.
Jelasnya lagi, lokasi PPV berkenaan juga strategik berikutan terletak di pusat bandar Sibu, selain memudahkan masyarakat berdekatan dan individu yang belum menerima vaksin untuk hadir terus ke PPV tersebut. “Tempat ini merupakan tumpuan masyarakat setempat.
“Bagi yang bekerja di kawasan pusat bandar serta tidak mempunyai pengangkutan, ini akan menjimatkan masa dan memudahkan mereka untuk mendapatkan vaksin,” ujar beliau.
David berkata, penerima vaksin yang hadir di PPV itu memberi respons positif dengan adanya PPV tersebut. “PPV ini akan menerima kehadiran sehingga 120 orang khususnya pada hujung minggu,” ujar beliau.
Untuk itu beliau menambah, PPV Pasar Sentral Sibu akan dibuka setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad serta cuti umum. “Kita akan terus ditempatkan di sini untuk memberi vaksin kepada orang ramai sehingga selesai. “PPV ini akan dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang,” kata David.