Tidak perlu lagi dapatkan talian di hujung jeti

KUCHING: Seramai 105 penduduk Kampung Sibu Laut kini berpeluang menikmati pelbagai kemudahan asas sejajar pembangunan di kampung berkenaan.

Ketua Kampung Sibu Laut Sanep Yasin bersyukur kepada Kerajaan Sarawak dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA)
kerana memberi peluang kepada penduduk kampung untuk mendapatkan perkhidmatan Internet secara percuma.

“Sebelum ini kawasan kampung amat sukar bagi mendapatkan data untuk melanggan Internet.

“Anak muda terpaksa pergi jauh keluar kampung, hujung jeti atau tepi laut untuk mendapatkan liputan yang baik di telefon mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, dengan adanya kewujudan Wifi Kamek, mereka sekarang tidak perlu bersusah payah mencari liputan Internet.

“Malam sebelumnya, penduduk kampung sudah mencuba menggunakan Wifi Kamek dan kelajuan Internet cukup pantas dan memuaskan hati.

“Kami tidak lagi berasa tinggal di kampung,” jelasnya.

Selain pembangunan Internet, Sanep turut bersyukur kerana diberi kemudahan bekalan air bersih.

Namun kini, penduduk Kampung Sibu Laut tidak perlu risau kerana mereka bakal mendapatkan bekalan air bersih.

“Dengan adanya kemudahan air berkenaan, penduduk sini berpeluang untuk menerima bekalan air seperti masyarakat yang tinggal di kawasan bandar,” kata Ketua Kampung Sibu Laut.

Suara Sarawak