Tidak perlu pembelian panik

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri memberi jaminan barangan keperluan asas menjelang Deepavali adalah mencukupi.

Ketua Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Miri, Joe Azmi Jamil menyarankan agar orang awam tidak melakukan sebarang pembelian panik pada musim perayaan.

“Barangan keperluan adalah mencukupi dan orang ramai tidak perlu panik membeli barangan kerana pegawai kita sentiasa membuat pemantauan dalam kalangan pemborong dan pasar raya setiap hari,” katanya semasa mengadakan pemeriksaan ke atas Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2020 di pasar raya Boulevard Hypermarket Miri pada Isnin.

Mengulas lanjut, Joe menjelaskan hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan itu mendapati kesemua barangan mengikut harga kawalan yang ditetapkan.

“Saya meminta mana-mana peniaga yang menjual barangan makanan terkawal semasa SHMMP Deepavali supaya mematuhi harga siling yang ditetapkan,” tegasnya.

Katanya, menjelang perayaan Deepavali 14 November ini, pemantauan harga barang keperluan dibuat ekoran jangkaan peningkatan permintaan keperluan asas.

SHMMP Deepavali tambahnya dikuatkuasakan sepanjang 9 hingga 17 November yang melibatkan 19 barangan.

Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan untuk manfaat pengguna dan peniaga.

“Peniaga dinasihatkan mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan, manakala pengguna harus mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka,” jelasnya.

Joe menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim dan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Suara Sarawak