Tidak sabar hadir ke sekolah

SEBAGAI guru pemulihan Jenny Geo Ery risau kerana tidak semua ibu bapa pelajar tahu membaca dan menulis terutama di kawasan pedalaman.

“Secara keseluruhan pelajar memang memberi kerjasama yang baik kerana tugasan yang diberi selalu disiapkan, walaupun tugas ini lambat dikembalikan ke sekolah.

“Ibu bapa juga selalu bertanyakan tentang tugasan anak-anak mereka.

Malah ada pelajar yang sempat saya jumpa selalu bertanya, bila mereka boleh pergi ke sekolah.

“Nampaknya mereka begitu merindui saat untuk bersekolah,” ujarnya.

Masalah untuk menghantar laporan setiap hari secara dalam talian juga dihadapi guru di kawasan pedalaman.

Mereka tidak dapat menghantar laporan mengikut masa yang ditetapkan.

“Masalah ini menyukarkan guru mendapatkan bahan baharu dari luar.

“Ini menyebabkan kami selalu menunggu sehingga lewat malam untuk menghantar laporan secara dalam talian.

“Malah ada juga guru yang terpaksa menunggu sehingga Jumaat untuk mendapatkan rangkaian Internet di kawasan bandar kerana dari Isnin hingga Jumaat, guru perlu berada di sekolah,” kongsinya lagi.

Sebagai anak jati dari Long Kerong Baram, Jenny begitu berharap jurang pendidikan di kawasan bandar dan luar bandar dapat dikurangkan kerana tidak dinafikan murid di pedalaman memang jauh ketinggalan berbanding murid di bandar.

“Ini ditambah dengan keadaan sekolah yang daif dan jauh dari bandar,” katanya.

Jenny berharap kerajaan dapat menyediakan sekurang-kurangnya capaian jalur lebar di bawah jenama Connect me ataupun kampung tanpa wayar di setiap kampung di kawasan Baram.

“Ini bagi memudahkan murid dan ibu bapa berhubung dengan pihak sekolah dan mendapatkan bahan pembelajaran terkini selain aktiviti mesyuarat menggunakan google Meet dan pelbagai aplikasi lain.

“Sekolah saya kini dalam proses mendapatkan capaian jalur lebar Connect me bagi memudahkan semua guru dan staf sekolah menghantar laporan dan mengikuti mesyuarat secara dalam talian.

“Saya turut berharap ibu bapa sentiasa mengambil berat terhadap pendidikan anak-anak dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab mendidik anak-anak di bahu guru semata-mata.

“Semoga pandemik Covid-19 ini segera berlalu kerana kami (guru) merindui suasana pembelajaran seperti dahulu,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak