ARTIKEL

Tidak terima gaji, PM Anwar pulangkan elaun pengerusi Khazanah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau memulangkan elaun sebagai pengerusi Khazanah Nasional Bhd yang diterimanya dan sekali lagi menegaskan tidak menerima gaji bagi jawatan Perdana Menteri yang disandangnya sejak November 2022.

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) pada Jumaat, Menteri Kewangan itu berkata beliau menolak menerima elaun berkenaan serta gaji, selagi keadaan ekonomi di Malaysia tidak pulih sebaiknya. 

“Sebentar tadi saya pengerusikan mesyuarat Khazanah, rupanya (sebagai) pengerusi (Khazanah) perdana menteri, semua ada elaun dan saya tidak tahu.

“Lepas beberapa bulan masuk akaun dalam bank iaitu elaun mesyuarat, saya beritahu saya tidak ambil. Saya terpaksa pulangkan balik elaun Khazanah dan saya beritahu mesyuarat tadi jangan bayar elaun saya,” katanya.

Pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, Anwar berkata, beliau tidak akan mengambil gaji bagi jawatan itu dan menyifatkan ia sebagai langkah pertama bagi menarik keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya.

Anwar berkata beliau bekerja dengan bersemangat kerana pernah melalui kehidupan yang susah dan pengalaman itu mengajarnya untuk membantu semua rakyat di negara ini.

“Saya lalui cara hidup yang sangat susah dan derita, (susah dan derita) mengajar saya apabila ada kuasa, cuba sebaik mungkin untuk membantu memperbaiki nasib rakyat. 

“Sebab itu saya kata, saya bukan dari keluarga yang kaya dan saya tidak ambil gaji sebagai Perdana Menteri, kemudian ada orang kata tidak ambil gaji Perdana Menteri tapi ambil gaji sebagai Menteri Kewangan. Itu tidak betul,” katanya.

Menyentuh isu kemiskinan tegar, beliau berkata kerajaan telah menyelesaikan isu berkenaan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor.

“Kita sedang usaha untuk negeri-negeri lain,” katanya.

Sementara itu, Anwar mengingatkan golongan muda, terutamanya komuniti India, untuk terus menimba ilmu dan menceburi disiplin (ilmu) baharu, seperti transformasi digital dan kecerdasan buatan.

“Jangan lupa belajar bersungguh untuk capai kejayaan dan mesti ingat matlamat pendidikan untuk timba ilmu sebaik mungkin,” katanya.

Anwar turut mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada Kolej Tafe di Seremban, Negeri Sembilan yang dibangunkan mendiang Tun S. Samy Vellu.

Pada majlis berkenaan, seramai 671 individu menerima biasiswa dan pinjaman menerusi MIED dengan peruntukan lebih RM15 juta. – BERNAMA

BERITA LAIN

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)