TIF sedia RM1 bilion kepada pengusaha pelancongan

KUCHING: Sebanyak RM1 bilion disediakan Tabung Infrastruktur Pelancongan (TIF) sebagai kemudahan pembiayaan pinjaman kepada pengusaha-pengusaha pelancongan yang berminat membangunkan industri pelancongan negara.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, di bawah TIF ini, kadar faedah pinjaman yang diberikan adalah dari 4 hingga 5.5 peratus setahun.

“Kemudahan pinjaman ITF meliputi pembiayaan bagi pembelian tanah, pembinaan bangunan, mesin peralatan dan aset-aset berkaitan aktiviti pelancongan.

“Ini adalah bagi membantu pengusaha-pengusaha industri pelancongan yang ingin mengembangkan perniagaanel melibatkan infrastruktur pelancongan seperti perhotelan, pusat konvensyen, taman tema, perubatan dan agro pelancongan,” katanya pada majlis pelancaran TIF di sini, hari ini.

Pelancaran TIF disempurnakan oleh Mohamaddin dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng serta turut disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB Arshad Mohamed Ismail.

Menjelas lanjut, Mohamaddin berkata semua permohonan TIF akan dipertimbangkan berdasarkan kepada daya maju projek bagi sektor pelancongan.

Beliau menambah permohonan yang telah disokong oleh kementerian akan dipanjangkan kepada Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) untuk penilaian akhir dan kelulusan pinjaman.

“Kementerian yakin kemudahan pembiayaan ini dapat membantu merancakkan industri pelancongan negara selaras dengan kempen Melawat Malaysia 2020 bagi menarik kedatangan 30 juta pelancong asing dengan penjanaan pendapatan pelancongan sebanyak RM100 bilion,” katanya.

Penubuhan TIF adalah melibatkan kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bekerjasama dengan BPMB sebagai salah satu inisiatif untuk membangunkan industri pelancongan negara.

Kredit foto: FB Alice Lau