Tiga agensi bergabung patahkan aktiviti penyeludupan rokok, minuman keras

BINTULU: Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Bintulu dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasaan JKDM Kuching dan Agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai RM88,502.00 di sebuah rumah kedai beralamat di Jalan Tun Ahmad Zaidi, Parkcity Commerce Square, di sini, Sabtu lalu.

Kejayaan tersebut susulan tindakan pantas Bahagian Penguatkuasaan JKDM Bintulu yang melakukan serbuan di lokasi berkenaan.

Menurut Pengarah Kastam Negeri, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah rumah kedai, pasukan operasi menjumpai 222,600 batang rokok dan 9,178 liter minuman keras dengan jumlah anggaran nilai RM88,502.00 serta jumlah anggaran amaun duti kastam yang terlibat sebanyak RM449,504.23.

Menurutnya, bertindak atas satu maklumat, sepasukan pegawai Kastam telah melakukan serbuan ke atas premis yang dipercayai merupakan stor rokok dan minuman keras tidak lulus kastam di Parkcity Commerce Square, Jalan Tun Ahmad Zaidi.

Stor telah dibuka secara paksa kerana pemilik premis gagal dikesan, dan hasil serbuan tersebut, pasukan telah menjumpai sebanyak 222,600 batang rokok dan 9,178 liter minuman keras disimpan di dalamnya, kata Halimah.

Modus operandi, katanya, rokok dan minuman keras tidak lulus Kastam disimpan di dalam premis rumah kedai yang kelihatan usang selain. Pintu masuk ke stor juga bersaiz kecil bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, di mana jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau
mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.

Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.