Tiga agensi di bawah Recoda bantu mempercepatkan pembangunan Sarawak

KUCHING: Pembentukan tiga agensi di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda) membantu mempercepatkan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak telah meluluskan sebanyak 250 pelaksanaan projek infrastruktur dan sosioekonomi di negeri ini.

“Ia termasuk dengan jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik termasuk membaik pulih serta menaik taraf sekolah daif,” katanya ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, tiga agensi tersebut adalah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HAD) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Sehubungan itu, jelas beliau, sehingga kini 86 projek dengan kos berjumlah RM1.7 bilion telah dianugerahkan sementara baki projek bernilai RM2.8 bilion akan dianugerahkan tidak lama lagi.

“Oleh itu, untuk mencapai perkara tersebut pada tahun hadapan, sejumlah RM1.678 bilion lagi diperlukan,” ujarnya.

Suara Sarawak