KUCHING: Satu permohonan berkaitan kebenaran untuk Undi 18 dilaksanakan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak telah dihantar ke Mahkamah Tinggi Kuching.
Peguam, Clement Wong memberitahu, permohonan itu bagi mendapatkan permohonan semakan kehakiman yang akan dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 Disember nanti.
“Tiga orang individu berusia 18 tahun iaitu Avril Clarice Chin, Ivan Alexander Ong dan Addam Johanson Jeremy Shayne telah membuat permohonan tersebut kerana mereka mencapai umur yang sah tetapi tidak dapat mengundi pada PRN-12 ini.
“Perkara utama yang ingin ditegakkan adalah untuk memastikan semua individu berusia 18 tahun diberikan hak untuk mengundi pada pilihan raya ini,” katanya pada sidang media Undi 18 di sini, hari ini.
Clement turut memberitahu bahawa pelaksanaan PRN-12 tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa kerana tarikh paling lambat untuk dilaksanakan adalah pada 2 Januari 2022.
Justeru, beri kebenaran untuk laksanakan undi 18 pada pilihan raya 18 Disember ini atau pinda tarikh PRN-12 ke tarikh yang lain untuk memberi ruang kepada undi tersebut dibenarkan.