Tiga blok bangunan Sk Campuran Daro musnah sepenuhnya dalam kebakaran

DARO: Tiga blok bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Campuran Daro musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi.

Berdasarkan maklumat dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak kebakaran melibatkan bangunan menyimpan buku teks bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), kuaters guru, dan bangunan stor.

“Sejurus menerima panggilan pada jam 6.44 pagi tadi pasukan bomba dan penyelamat Daro diketuai PBK II Mostapa Wasli bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi dengan sebuah FRV dan sebuah LFRT.

“Setibanya di lokasi kebakaran telah memusnahkan bangunan sekolah setingkat jenis tidak kekal dan operasi pemadaman segera dilakukan,” jelas kenyataan tersebut

Difahamkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan sekolah masih belum beroperasi pada hujung minggu.

“Setelah beberapa jam kebakaran telah berjaya dikawal dan pihak bomba masih menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ di tempat kejadian bagi memastikan tiada lagi sumber api,” ujarnya lagi.

Sehingga kini pihak bomba masih mengenalpasti dan mencari punca kebakaran yang berlaku di sekolah berkenaan.

Turut tiba ke lokasi kejadian ialah anggota Polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beberapa pegawai Sesco yang bersiap sedia sekiranya perkara tidak diingini berlaku.

Suara Sarawak