BINTULU: Tiga langkah dicadangkan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Bakeri Ting menuju ke Jalan Tun Razak, di sini, bagi melancarkan pergerakan kenderaan.
Adun Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, ia susulan pusat khidmatnya menerima banyak aduan dan sungutan daripada penduduk di sekitar mengenai masalah tersebut.

Malah, katanya, terdapat aduan penduduk yang memaklumkan tidak menerima sebarang makluman atau peringatan awal berhubung penutupan atau perubahan laluan jalan terbabit.
“Difahamkan pihak Lembaga Kemajuan Bintulu telah membuat pengumuman tentang perubahan jalan tersebut di laman Facebooknya. Namun, ia tidak diberitahu secara umum.

“Pihak berkuasa tempatan seharusnya membuat pemberitahuan mengenainya bukan sahaja menerusi laman media sosial, sebaliknya juga perlu melalui media cetak dan digital seperti radio,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui usai melakukan tinjauan ke tapak projek pembinaan sistem perparitan Kampung Assyakirin dan memantau kesesakan lalu lintas di kawasan Jalan Bakeri Ting, di sini.
Beliau turut mengambil contoh kerja-kerja pembinaan jejambat Medan Jaya yang menyediakan papan tanda dan papan arah jelas, ia berjaya menarik perhatian pengguna sebelum jalan raya ditutup sementara bagi memudahkan kerja-kerja yang tidak dapat dielakkan.
“Justeru itu, terdapat beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan untuk mengatasi masalah tersebut.
“Pertama sekali adalah pihak kontraktor seharusnya menyediakan papan tanda dan papan arah yang jelas dan mencukupi di sekitar jalan sementara tanpa menjejaskan penglihatan pengguna jalanraya.
“Pihak kontraktor dan pihak berkuasa juga perlu membuat pengumuman dan pemberitahuan yang lebih awal kepada orang awam sebelum penutupan jalan,” ujarnya.
Tambahnya, cadangan kedua ialah pihak kontraktor mesti membina jalan sementara yang cukup bagi menampung kegunaan jalan tersebut. Sekiranya jalan yang ditutup untuk penyelenggaraan adalah jalan berkembar, maka jalan sementara yang dibina juga mesti jalan berkembar.
“Cadangan ketiga pula adalah pihak kontraktor tidak menutup jalan sekiranya tiada keperluan kerana didapati tiada kerja penyelenggaraan atau pembinaan yang dijalankan segera di lokasi penutupan jalan terlibat,” jelasnya.
Beliau berharap ketiga-tiga cadangan itu dapat diterima baik oleh pihak kontraktor dan pihak berkuasa tempatan khususnya BDA dalam usaha meringankan beban lalu lintas kawasan terlibat sekali gus berharap kerja-kerja pembinaan sistem dapat dipercepatkan.