Tiga daerah zon Hijau terakhir, Lawas, Telang Usan dan Simunjan

KUCHING: Hanya berbaki tiga daerah sahaja yang masih berstatus Hijau di Sarawak hari ini, melibatkan daerah Lawas, Telang Usan dan Simunjan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, daerah Lundu telah bertukar ke status Kuning daripada status Hijau setelah merekodkan satu kes jangkitan tempatan baharu pada hari ini.

“Ia menjadikan jumlah daerah berstatus Kuning sebanyak 11 daerah.

“Manakala, daerah Pakan pula bertukar ke status Jingga daripada status Kuning setelah merekodkan sebanyak 26 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas, menjadikan jumlah daerah berstatus Jingga meningkat kepada lima daerah,” katanya.

Sehubungan itu, JPBN memaklumkan daerah Sri Aman telah kembali ke status Jingga daripada status Merah setelah hanya merekodkan sejumlah 35 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Ia turut menajadikan daerah yang berstatus Merah telah berkurang kepada 21 daerah,” tegasnya.

Dalam pada itu, JPBN hari ini telah membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Rayang, Serian dan Kampung Sileng Dayak, Lundu berkuatkuasa mulai 23 April 2021 (12.01 pagi) sehingga 06 Mei 2021 (11.59 malam).

Suara Sarawak