Tiga dari empat suspek telah dibebaskan, siasatan hampir selesai

BETONG: Teman lelaki kepada ibu kanak-kanak berusia dua tahun yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai didera di sini, masih ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.

Ketua Polis Daerah Betong Deputi Superintendan Zamry Alli berkata ibu mangsa, abang suspek dan ibu suspek yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan.

“Satu-satunya suspek yang masih ditahan dalam lokap IPD Betong adalah teman lelaki ibu mangsa.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dalam beberapa hari ini dan akan dibawa ke hadapan Timbalan Pendakwa raya untuk arahan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara, Zamry berkata bedah siasat ke atas mangsa telah dijalankan malam tadi dan siasatan hampir selesai.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada 6 Jun lalu, kanak-kanak malang itu dilaporkan meninggal dunia dipercayai didera, dengan kesan lebam di badan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada pihak Hospital Betong pada jam 3.50 petang.

Suara Sarawak