Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Tiga fokus utama pembangunan Mambong

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Tiga fokus utama akan diberikan tumpuan dalam cadangan mempercepatkan pembangunan Dun Mambong untuk dilaksanakan di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKDCA).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil berkata, ia termasuk meningkatkan pembangunan pertanian, menyediakan kemudahan dan program keusahawanan serta membangunkan produk pelancongan.

“Untuk meningkatkan potensi pertanian yang akan memberikan manfaat kepada masyarakat setempat, kita berhasrat membangunkan Pusat Pengumpulan Kopi, membina jalan pertanian dan menjadikan Mambong sebagai bakul makanan Bahagian Kuching.

“Sementara untuk pembangunan usahawan khususnya melibatkan golongan belia, kita berhasrat menyediakan pelbagai kemudahan serta program seperti inkubator, taman perindustrian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan membina anjung usahawan,” katanya.

Adun Mambong itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Makmal Mini Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKDCA) Dun Mambong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Mambong yang terletak dalam Taman Geo Delta Sarawak mempunyai keindahan flora dan fauna tersendiri harus dibangunkan bagi meningkatkan potensi pelancongan.

“Malah kawasan kita yang sangat dekat dengan Kuching, membuka lagi potensi pelancongan ditambah dengan mempunyai lebih 50 air terjun, sungai, gua dan banyak lagi keindahan semula jadi yang mampu menarik lebih ramai kehadiran pelawat,” ujarnya.

Bercakap mengenai makmal yang disertai 100 peserta tersebut, Jerip berkata ia disertai pelbagai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, kementerian negeri dan Persekutuan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat untuk berinteraksi antara satu sama lain.

E-Paper

21 Mac 2023

Latest News