Mancha, 58, berkelulusan akademik Diploma Siswazah Sains Kepolisan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mula berkhidmat dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada 14 September 1986.
Beliau memulakan tugas dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) pada 1987 kemudian mengikuti Kursus Asas Komando 69 di Kedah pada 1988. Ketika berpangkat Superintendan, Mancha dianugerahkan Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (J.P.P) pada 2 Disember 2014.
Anugerah tersebut hanya dikurniakan kepada mereka yang menunjukkan kegagahan dan keberanian luar biasa di luar medan peperangan.
Selain itu, Mancha juga dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak yang membawa gelaran ‘Dato’ sempena ulang tahun ke-85 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Sepanjang berkhidmat dalam PDRM, beliau pernah dilantik dan menjawat beberapa jawatan penting di Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Beliau pernah dilantik sebagai Pegawai Turus Risikan Gerakan 69 Komander Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Ulu Kinta, Perak.
Pada 2019, beliau menggalas tugas selaku Timbalan Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kinarut, Sabah yang selepas itu dinaikkan pangkat kepada Senior Asisten Komisioner (SAC) bagi menjawat tugas sebagai komander di PGA Sabah pada 2020.
KEMBALI KE SARAWAK
Selepas berkhidmat di Sabah, Mancha pulang ke tanah kelahirannya bagi memimpin PGA Briged Sarawak sebagai Komander.
Pencapaian beliau tidak terhenti di situ, sebaliknya terus meningkat apabila dinaikkan pangkat kepada Deputi Komisioner Polis (DCP) dan dilantikan menjadi Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 11 Jun 2021.
Baru-baru ini, beliau dinaikkan pangkat sekali lagi kepada CP dan menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak ke-28.
Majlis serah terima tugas diadakan di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak disaksikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Beliau menyerahkan tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak kepada penggantinya, Datuk Ibrahim Darus yang sebelum ini ialah Ketua Penolong Pengarah E1 Cawangan Khas Bukit Aman.
Ramli dalam ucapannya berkata, beliau yakin dengan kemampuan Mancha untuk meneruskan kecemerlangan polis Sarawak seperti yang dicapai Pesuruhjaya Polis terdahulu.
“Sebagai pegawai komando, beliau pakar dalam operasi khas dan dengan pengalaman yang luas, saya yakin beliau terus membawa kecemerlangan kepada polis kontinjen Sarawak,” katanya.
Mancha yang berasal dari Asajaya, Samarahan itu merupakan anak jati Sarawak keempat menggalas tugas Pesuruhjaya Polis tersebut.
KERJASAMA KERAJAAN NEGERI
Beliau ketika berucap menetapkan tiga fokus utama iaitu memperkasa integriti dengan membersihkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Antara lain termasuk memartabatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat serta mengukuhkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri demi keselamatan dan ketenteraman awam.
“Fokus kedua, memartabatkan mutu penyampaian bagi meningkatkan kenyakinan masyarakat kepada perkhidmatan polis kontinjen Sarawak.
“Fokus ketiga, komited mengukuhkan jalinan kerjasama dengan kerajaan negeri dan mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat setempat demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Sarawak,” ujarnya.
Beliau berharap dengan pelantikan itu, kerjasama semua pihak terutama anggota dan pegawai polis kontinjen Sarawak terus diperkasa dan dieratkan dalam memastikan hala tuju dan perkhidmatan disampaikan dengan lebih berkesan.