Tiga individu ditangkap, empat kilogram ganja dirampas dalam operasi di Jalan Temple

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya merampas dadah jenis ganja dianggarkan seberat 4.1 kilogram (kg) dalam satu operasi di Jalan Temple di sini, sekitar jam 5 petang pada Rabu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Fisol Salleh berkata, operasi membanteras sindiket pengedaran dadah yang bernilai sekitar RM10,397 itu berjaya menahan tiga suspek termasuk serang wanita berusia dalam lingkungan 31 hingga 33 tahun.

“Pasukan operasi menahan seorang lelaki di kaki lima berhadapan dengan sebuah restoran dalam keadaan membawa dua bungkusan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan pertama mengandungi ketulan mampat dedaun kering dibaluti kertas karbon dan aluminium yang disyaki ganja seberat kira-kira satu kilogram,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bungkusan kedua mendapati ia turut mengandungi ganja seberat sekitar dua kilogram.

RAMPASAN… Antara rampasan dadah yang dilakukan oleh JSJN dalam operasi tersebut.

“Hasil daripada penemuan itu, suspek membawa pasukan operasi ke kediamannya dan menahan seorang wanita yang berada di dalam rumah itu semasa serbuan dilakukan selain turut menjumpai plastik lutsinar mengandungi ganja seberat kira-kira 42.2 gram,” jelasnya.

Hasil soal siasat ke atas suspek kemudian membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Taman Pelita Jaya, Jalan Sultan Tengah di sini dan menangkap seorang lagi suspek lelaki.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas rumah itu berjaya menemui 1.1 kg dadah jenis ganja dan dipercayai kesemua dadah tersebut diperoleh dari luar negeri dengan menggunakan khidmat kurier.

Kesemua suspek ditahan reman selama enam hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.

Beliau memohon agar pengendali perkhidmatan kurier dapat memberikan kerjasama kepada pihak polis khususnya terdapat bungkusan yang mencurigakan supaya tindakan segera dapat diambil.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 40 individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam satu operasi bersepadu di Kampung Tabuan Melayu pada Isnin lalu.

Operasi yang dilakukan bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu adalah bertujuan untuk membersihkan kawasan berkenaan daripada penagih dadah dan memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap kehadiran masyarakat serta mengurangkan kejadian jenayah.

Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.