Tiga kampung di DUN Semop bakal dapat masjid baharu

PULAU BRUIT: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan tiga buah masjid baharu di Pulau Bruit.

Masjid itu masing-masing bakal dibina di Kampung Paloh, Penibong dan Semop dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

Satu jawatankuasa khas peringkat kampung akan ditubuhkan bagi memantau memantau pelaksanaannya manakala, keahliannya terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Jawatankuasa Masjid di setiap kampung termasuk pegawai daerah dan agensi yang berkaitan.

Sehubungan itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdullah Saidol berkata, peruntukan pembinaan masjid terbabit disalurkan melalui Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

Selain bertujuan menampung pertambahan bilangan kariah katanya, reka bentuk masjid dibina mengikut kesesuaian di samping dilengkapi dengan ruangan khas untuk mesyuarat dan aktiviti keagamaan yang berkaitan.

“Pembinaan masjid Kampung Paloh dan Penibong dijangka dapat dimulakan dengan cepat kerana tapaknya sudah dikenalpasti dan tidak ada halangan.

“Sementara Kampung Semop pula masih menunggu pengesahan tentang kedudukan dan status tapak bangunan,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat bagi pembinaan masjid tersebut di Dewan Kampung Penibong, Paloh dan Semop, semalam.

Abdullah yang juga ADUN N.42 Semop berkata, berdasarkan penilaian Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab yang mengetuai jawatankuasa pembinaan masjid, peruntukan RM5juta tidak mencukupi bagi tujuan tersebut.

Sehubungan itu beliau menyatakan komitmen untuk mendapatkan peruntukan tambahan.

“Saya juga sedaya upaya berusaha untuk mendapatkan peruntukan bagi pembinaan masjid dan surau baharu di beberapa kampung lain. Untuknsementara waktu, saya menyalurkan peruntukan untuk. membaikipulih beberapa masjid dan surau sedia ada,” katanya.

Sepanjang enam bulan lalu, Abdullah menyalur sumbangan kepada beberapa masjid dan surau untuk membeli perkakas dan keperluan lain.

Dalam pada itu, Yusuf berharap supaya projek pembinaan masjid baharu itu dimulakan dengan cepat supaya masyarakat kampung dapat menikmati urusan beribadah di tempat yang lebih selesa dan merancakkan lagi aktiviti keagamaan.

Pada sesi taklimat itu pemimpin kampung dan ahli jawatankuasa masjid memberi maklumbalas positif serta cadangan yang bernas.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah letak kenderaan, bilik pengurusan jenazah, rekabentuk yang fleksibel supaya sebarang usaha untuk menaiktaraf masjid pada masa akan datang dapat dilakukan dengan mudah.

Susulan majlis taklimat itu, perjumpaan akan juga dilakukan dengan agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah, JKR, JBALB dan Sesco bagi memastikan keperluan seperti bekalan air dan elektrik dapat dilaksanakan dengan rapi.

Suara Sarawak