KUCHING: Sebanyak tiga kawasan di daerah Betong dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok hari.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ketiga-tiga kawasan berkenaan diletakkan di bawah PKPD bermula 26 Ogos hingga 8 September ini.
“Ia adalah Rh. Alexander, Bebuling Atas, Spaoh, Rh. Lanyau, Linsom dan Rh. Mendali, Buyong Bangat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah JPBN, hanya satu kawasan dilanjutkan PKPD iaitu Rumah Paberi Magelit, Sg Menok, Lapok, Tinjar di Beluru untuk tempoh 25 hingga 31 Ogos ini.
Dalam perkembangan yang sama, JPBN menyatakan terdapat empat kawasan di Sarawak yang telah ditamatkan PKPD, hari ini.
Antaranya adalah PKPD di Rh. Robert, Nanga Sebatu, Batang Rajang, Kapit; SK Nanga Entuloh Bukit Mabong; Rumah Angut Anak Anding, Ulu Keriok, Niah, Subis dan Rh. Sering, Kampung Bangkong, Pantu, Sri Aman.