Tiga kawasan di Matu terjejas banjir setakat 3 petang tadi

MUKAH: Sehingga petang tadi tiga kawasan terjejas banjir di Daerah Matu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, Sk Orang Kaya Sergunim dan Sk Orang Kaya Selair.
Menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Matu Lt (PA) Jumaat Akasas secara keseluruhannya keadaan air banjir di Matu masih dalam keadaan terkawal.
“Pihak APM Matu telah membuat pemantauan di lapan kampung yang berisiko banjir, hasil tinjauan mendapati Kampung Jemoreng menunjukkan kenaikan paras air yang mendadak berikutan air dari ulu sungai mengalir terlalu cepat ke kampung.
“Namun demikian untuk tiga buah kampung iaitu Kampung Bertong, Kampung Sekaan Besar Dan Kampung Jemoreng, penduduk perlu berada dalam keadaan berwaspada dengan keadaan air pasang dan taburan hujan kini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak tadi.
Manakala jalan utama iaitu Jalan Jemoreng Bawang turut terjejas dan kenderaan ringan tidak digalakkan menggunakan laluan ini dan jelasnya lagi air pasang laut juga akan berterusan berlaku sehingga 4 Februari ini.

“Kita memohon kepada penduduk di Kampung Sekaan Besar Dan Bertong berwaspada pada sebelah malam berikut aliran air dari Kampung Jemoreng begitu cepat,”ujarnya.
Manakala untuk kawasan Mukah sehingga jam 5 petang tadi keadaan banjir masih dalam keadaan terkawal dan kebanyakan jalan kampung masih dapat dilalui oleh kenderaan.
Ketua APM Daerah Mukah Kapten (PA) Zuriza Sharkawi memaklumkan masalah sistem perparitan menyebabkan air menaik melimpahi parit.
“Keadaan jalan di Daerah Mukah masih selamat untuk digunakan dan beberapa kawasan berisiko banjir masih dalam keadaan selamat dan penduduk diingatkan sentiasa berwaspada.
“Sekiranya berlaku air naik, orang ramai boleh menghubungi APM Mukah di
Pusat Kawalan Operasi Daerah Mukah yang dibuka 24 jam di 084 872 814 bagi berpindah ke tempat yang lebih selamat,”katanya lagi.
 


Suara Sarawak