Tiga kawasan lokasi panas penagihan dadah

KUCHING: Tiga daerah termasuk Kuching, Samarahan dan Miri dikenal pasti sebagai lokasi aktiviti penyalahgunaan dadah berisiko tinggi di Sarawak tahun ini.

Pengarah AADK Sarawak Wan Madihi Wan Salleh berkata, lokasi terbabit menjadi sarang utama penagihan dadah berdasarkan kajian statistik tangkapan kes menerusi Ops Total Enforcement II yang dilaksanakan pada 22 hingga 24 Jun lalu.

Dedahnya, antara kawasan panas aktiviti berkenaan di Kuching ialah Tabuan, Matang, dan Kampung Haji Baki. Tambahnya, kawasan Samarahan pula meliputi Tanjung Bundong dan Kampung Baru, manakala lokasi panas di Miri terletak di Bekenu dan Batu Niah.

“AADK Sarawak dalam satu operasi khas berjaya menahan 63 individu dipercayai terlibat dadah merangkumi 41 tangkapan di Miri, 16 di Samarahan dan enam di Kuching. “Hasil saringan awal air kencing mendapati 52 suspek lelaki dan seorang wanita disahkan positif dadah,” jelasnya.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang media khas sempena Hari Antidadah Sedunia di pejabat AADK Sarawak, di sini pagi kelmarin. Wan Madihi turut memaklumkan sebanyak 157 operasi dilaksanakan oleh AADK Sarawak bermula awal Januari hingga kelmarin.

“Rekod menunjukkan operasi berjaya menghasilkan tangkapan seramai 511 individu dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah dengan seramai 342 suspek dikenal pasti positif dadah. “Statistik menunjukkan sejumlah 99 peratus pesalah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah jenis syabu,” katanya.

Susulan itu tambahnya, pihaknya dalam proses menunggu keputusan daripada Jabatan Patalogi untuk menentukan hukuman dan pesalah akan diletakkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Kuching atau secara pengawasan luar.

Tegasnya, kesemua kes disiasat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998. Sementara itu, jelasnya, program rawatan AADK yang menggariskan beberapa kategori dan program pencegahan PKP menerusi media sosial turut dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

“Lapor diri orang kena pengawasan (OKP) masih lagi dijalankan melalui kaedah dalam talian seperti telefon, panggilan video, aplikasi WhatApps, Telegram dan lainlain. “Untuk program rawatan pemulihan PKP dan pasca-PKP, kita ada program psikososial dalam tempoh PKP berkenaan.

“Kita juga ada bantuan kepada klien yang terjejas dengan pemberian sumbangan berupa barangan dapur,” ulasnya lanjut. Dedahnya, sejumlah 349 aduan berkaitan kes salah guna dadah telah diterima pada awal Januari hingga 9 Jun dan pihaknya berjaya menyelesaikan 173 kes, manakala 176 kes masih dalam siasatan.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam fasa perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dalam melaksanakan ujian calitan bagi memastikan tiada penularan Covid-19 berlaku dalam kalangan pesalah terutamanya di Puspen.

Turut hadir Timbalan Pengarah Rawatan dan Pemulihan AADK Azli Senin dan Winnie Lugit.